Pelakon komedi tanah air, Accapan meninggal dunia pada usia 63 tahun pada jam 2.43 pagi tadi.
Menurut anak bongsunya, Yhuveneshwary, ayahanya menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga mereka di kediaman yang terletak di Taman Puchong Utama akibat kegagalan buah pinggang.
Memetik kenyataan dikeluarkan Persatuan Seniman, upacara penghormatan terakhir akan dilakukan di rumah Accapan yamg nama sebenar Samynathan A/L Rethinam itu di 12A Jalan PU 3/2A, Taman Puchong Utama 47140, Selangor.
Accapan meninggalkan seorang isteri, Yogeswari Subramaniam, 53, dan tiga orang anak iaitu Vikneshwaran Samynathan, 31, Dhineshwaran Samynathan, 28, dan Yhuveneshwary Samynathan, 24.
Semasa hayatnya, Accapan banyak berlakon drama dan filem tempatan dengan pelbagai watak yang mencuit hati dan meninggalkan kesan kepada penonton.
Antara drama popular yang mengangkat namanya di hati peminat Melayu ialah sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
