Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbincangan PRK Port Dickson kini sekadar 'akademik'
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 12:05 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata sebarang perbincangan membabitkan pemimpin parti mengenai keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi parlimen Port Dickson kini hanya bersifat "akademik semata-mata".

Kata Azmin sepatutnya parti mengambil pertimbangan pandangan semua pemimpin parti sebelum memutuskan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) berkenaan.

"Pandangan yang diberikan sesetengah pemimpin parti adalah serius dan wajar turut diberi perhatian.

"Ia (keputusan tanpa berbincang dengan semua pemimpin parti) tidak akan berlaku lagi selepas ini dengan adanya barisan parti yang bersatu.

"Bagaimana ia diputuskan sudah menjadi akademik. Perhatian sekarang sepatutnya terarah untuk memastikan parti mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRK akan datang," katanya seperti dipetik The Malay Mail hari ini.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata demikian semasa berucap kepada penyokong PKR di Seberang Perai, Pulau Pinang malam tadi.

Kenyataan tersebut diuat selepas beberapa pemimpin kanan PKR - termasuk naib presiden, Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin (ketua wanita) memberitahu keputusan mengosongkan kerusi parlimen PKR dibuat tanpa perbincangan dengan mereka.

Menang majoriti selesa

Keputusan itu juga dikaitkan oleh Tian dengan pemilihan dalaman PKR. Katanya Rafizi Ramli - yang kini seorang lagi naib presiden - menggunakan isu berkenaan untuk membantunya memenangi pertandingan jawatan timbalan presiden.

Untuk menjadi timbalan presiden Rafizi perlu menghadapi cabaran Azmin yang juga penyandang jawatan berkenaan.

Untuk rekod Zuraida dan Tian adalah pemimpin yang bersekutu dengan Azmin, manakala Rafizi mengetuai kumpulan lain.

Dalam langkah dianggap sebagai Langkah PD, penyandang kerusi Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 Sept lalu bagi membolehkan satu PRK diadakan.

Anwar dipersiapkan untuk menjadi perdana menteri kelapan Malaysia. Bagaimanapun untuk membolehkan ia berlaku Anwar perlu menjadi salah seorang anggota Dewan Rakyat.

Kekosongan kerusi Port Dickson membuka jalan buat Anwar bertanding dan diyakini beliau akan memenangi PRK berkenaan.

Pada PRU ke-14 lalu Danyal mendapat 36,225 undi dan mempertahankan kerusi berkenaan untuk PKR dengan kelebihan 17,710 undi.

Dua pencabar untuk kerusi itu ialah BN - yang mendapat 18,515 undi - dan PAS (6,594 undi).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS