Berita Malaysiakini

‘MP Umno tandatangan SD beri Zahid kuasa lamar HARAPAN’

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa bahawa "majoriti Ahli Parlimen Umno" menandatangani akuan bersumpah (SD) yang memberi kuasa kepada presiden parti itu untuk berunding dengan parti-parti Pakatan Harapan atau PAS, dalam usaha untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan.

Dalam laporan oleh Malay Mail semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas itu dipetik sebagai berkata bahawa SD berkenaan akan membolehkan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap dengan parti komponen bukan BN.

Mengenai langkah 'Port Dickson' untuk membolehkan penampilan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nazri dilaporkan sebagai berkata tidak wajar bagi Umno mengeruhkan lagi hubungan dengan ketua umum PKR itu yang bakal bertanding di kerusi berkenaan kerana yang PKR mewakili parti terbesar dalam Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, ahli parlimen Umno lain tidak mahu mengulas lanjut tentang dakwaan wujudnya SD berkenaan oleh Nazri apabila dihubungi portal itu.

"Saya tidak boleh mengulas. Perkara ini bukan untuk dikongsi bersama orang ramai. Terpulang kepada kepimpinan untuk menentukan apa yang terbaik untuk parti," kata Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Sentimen sama dikongsi oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang menambah: "Tetapi saya rasa Umno harus adakan mesyuarat kepimpinan secepat mungkin dan memutuskan sama ada mahu bertanding di kerusi Port Dickson, seperti PAS... mereka buat keputusan dan dengan itu, perbahasan berakhir."

Nazri semalam memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan berkempen untuk Anwar dalam pilihan raya kecil Port Dickson, selepas penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk Anwar, yang juga presiden PKR.

"Saya tidak jangka Umno akan jadi kerajaan dalam masa terdekat, tapi terdapat pendapat di kalangan anggota parlimen Umno bahawa kita perlu kembali menjadi kerajaan secepat mungkin.

"Satu-satunya cara untuk melakukan perkara itu adalah dengan bekerjasama dengan PKR... Jadi kita perlu tunjuk niat baik jika kita, jika kita ingin jadi kerajaan, biarkan Anwar menang," kata Nazri.