Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu Grab didakwa tipu juruteknik ATM
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 3:55 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Seorang pemandu Grab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menipu dua juruteknik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk menyerahkan empat peti yang mengandungi wang tunai berjumlah lebih RM300,000.

Mohd Sofi Abdul Rahman @ Yusoff, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Tertuduh bersama-sama dua yang telah dituduh di mahkamah, didakwa menipu Muhammad Syafiruddeen Huzmi@Hazmi dan Muhammad Kamil Azhar Nordin kedua-duanya berumur 23 tahun dengan cara menggunakan keyakinan dan percakapan sehingga mangsa menyerahkan empat peti yang berisi wang tunai berjumlah RM337,550.

Sekiranya mereka tidak diperdayakan sedemikian barang itu tidak diserahkan kepada tertuduh.

Bapa anak empat itu didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Kuchai Lama di Kuala Lumpur antara 9.00 malam dan 11 malam, 8 Jun 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda,jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim menawarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Mohd Sofi yang diwakili peguam Jason Wee memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga serta mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri dua bulan sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 7 Okt untuk sebutan semula kes.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS