Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mazlee mampu betulkan kepincangan UIA, kata Kongres MAAC
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 4:03 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mungkin dilihat tidak bagus dari kacamata politik namun dari perspektif academia bakal memberi banyak kebaikan kepada pentadbiran, ahli akdemik dan pelajar UIAM.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (Kongres MAAC) Datuk Prof Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata sebagai mantan ahli akademik di UIAM, Mazlee dilihat mampu membetulkan kepincangan dan kelemahan pentadbiran UIAM.

“Meskipun pelantikan beliau itu dilihat bercanggah dengan janji dan komitmen Pakatan Harapan yang mahu membebaskan universiti dan institusi pendidikan daripada pengaruh politik namun dijangkakan, Dr Maszlee akan dapat membetulkan kepincangan dan kelemahan pihak pentadbiran UIAM dari kacamata dan pengalaman beliau sebagai ahli akademik.

“Beliau dijangka akan dapat memartabatkan status ahli akademik di UIAM kembali kepada kedudukan yang sewajarnya. Pengalaman ramai ahli akademik yang aktif di dalam banyak NGO termasuk dalam Kongres MAAC mendapati ahli akademik di universiti awam mendapat layanan yang berbeza setelah autonomi universiti dilaksanakan.

“Ini, khususnya lebih ketara apabila universiti menerima bajet yang semakin berkurangan sehinggakan terdapat sekatan terhadap kenaikan pangkat terhadap ahli akademik berlaku secara tanpa disedari, dengan alasan bahawa bajet universiti semakin berkurangan dan terbatas,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Justeru, bagi pelajar khususnya pelajar UIAM yang telah mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia, seharusnya mengkaji terlebih dahulu sama ada pelantikan Dr Maszlee lebih banyak keburukan atau kebaikan.

“Sebagai seorang pemerhati dan ahli akademik, saya dapati kumpulan pelajar ini perlu merenung kembali keuntungan atau manfaat yang mereka dapati dari tindakan mereka ini. Jika mereka adalah dari UIAM, maka mereka perlu mengkaji kebaikan dan keburukan jika Dr Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM.

“Jika lebih banyak keburukan dari kebaikan, maka mereka berhak membenarkan diri mereka melakukan demonstrasi aman tersebut. Jika lebih banyak kebaikan yang akan diperolehi UIAM, staf dan pelajarnya, maka mereka perlu merasa malu kerana telah bertindak melulu tanpa memikirkan asas tindakan mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa beliau percaya kepada kebebasan bersuara dan autonomi universiti. Bahkan merupakan salah seorang pendokong kepada reformasi universiti khususnya apabila ia bersangkut dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan kebebasan akademik.

“Saya juga menyokong sebarang usaha untuk memartabatkan ahli akademik di negara ini. Namun, kebebasan dan autonomi ini perlu disekalikan dengan kebertanggungjawaban seperti yang pernah di sebut Prof. Datuk Dr Ibrahim Komo dan Dr Maszlee sendiri.

“Kita perlu meletakkan kaedah menegur yang lebih beradap diutamakan dan menyuarakan pendapat yang konstruktif dilakukan oleh mana-mana pihak agar ia mampu menjana pembangunan idea dan ilmu yang lebih realistik. Tidak salah kalau kita berdiskusi secara ilmiah tanpa melupakan neraca di antara kebaikan dan keburukan yang bakal didapati hasil dari subjek yang dibincangkan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS