Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir setuju pengembalian hak Sarawak ikut MA63 - Fadillah
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 4:15 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju bahawa isu berkenaan royalti minyak dan pengembalian hak Sarawak harus diselesaikan seperti mana yang telah dijanjikan.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu dinyatakan perdana menteri ketika anggota parlimen GPS mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Rabu lalu.

“Semasa pertemuan itu yang disertai 15 daripada 19 anggota parlimen GPS, mereka turut membincangkan beberapa perkara berkaitan Sarawak seperti royalti minyak, pengembalian kuasa seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta isu naik taraf sekolah daif di Sarawak,”katanya pada sidang media selepas mereka bertemu dengan ketua menteri Sarawak di pejabatnya di Kuching harI ini.

Berkenaan tawaran dana RM1 bilion yang ditawar kerajaan negeri Sarawak bagi menaik taraf sekolah daif di Sarawak, Fadillah berkata perdana menteri memberi tahu bahawa perkara itu akan dibincang oleh pihak kerjaan persekutuan terlebih dahulu.

Fadillah yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya berkata semasa pertemuan itu pihaknya juga menyatakan hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk membantu pihak kerajaan persekutuan berkenaan naik taraf sekolah daif dengan menawarkan dana daripada kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion secara pinjaman atau hapus kira hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan.

Di samping itu, katanya, mereka turut menyuarakan hasrat agar projek-projek infra rakyat yang telah dirancang sebelum ini seperti jalan, jambatan, hospital, klinik Kesihatan, projek bekalan air dan elektrik harus diteruskan bagi manfaat rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Sebagai contoh, katanya anggota parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem telah memohon supaya projek Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian bernilai RM310 juta yang diluluskan kerajaan persekutuan terdahulu diteruskan pembinaannya, manakala anggota parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Karim memohon supaya projek Jambatan Batang Lupar bernilai RM1 bilion (ditanggung bersama oleh kerajaan pusat dan negeri) yang amat diperlukan juga diteruskan.

"Malah semua anggota parlimen GPS menyuarakan hasrat agar projek-projek kemudahan asas yang telah diluluskan terdahulu diteruskan pembinaannya kerana ia sangat diperlukan oleh rakyat," katanya pada sidang media selepas mereka bertemu dengan ketua menteri di pejabatnya hari ini.

Sementara itu Fadillah berkata hanya Ketua Menteri Sarawak telah dijemput menyertai jawatankuasa khas mengenai MA63 yang ditubuh kerajaan Pakatan Harapan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS