Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK PD | Bekas Setiausaha Agung MIC Datuk G Kumaar Aamaan, mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumaar ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan akan bertanding di Port Dickson susulan kenyataan MIC tidak akan bertanding di kawasan parlimen itu yang merupakan kerusi tradisional parti tersebut sejak tahun 1974.

"Ia (Port Dickson) kerusi tradisional MIC. Keangkuhan Umno yang berhasrat untuk bertanding di sana tanpa persetujuan MIC adalah sangat memalukan.

"Malah, saya kecewa dengan tindakan Umno. Ini yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk bertanding pada PRK akan datang ini."

"Pada pendapat saya, kaum India di Malaysia masih tidak dihormati mahupun BN atau Pakatan Harapan, semuanya sama sahaja, kaum India sentiasa dianak tirikan," dakwanya.

Kumaar yang bertanding di DUN Tanah Rata dibawah tiket PAS pada PRU14 berkata tujuan utama beliau bertanding di Port Dickson demi menjaga kepentingan pengundi India di Negeri Sembilan.

"Saya tinggal di Negeri Sembilan sejak 15 tahun.

Anwar Ibrahim orang Pulau Pinang

"Maka, saya berhak bertanding di mana-mana kawasan parlimen Port Dickson berbanding Anwar Ibrahim yang merupakan orang Pulau Pinang.

"Namun, saya sentiasa menghormati dan menjaga hak kaum lain," katanya lagi.

Penyandang kerusi Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 September lalu bagi membolehkan satu PRK diadakan.

Kekosongan kerusi Port Dickson membuka jalan buat Anwar bertanding dan diyakini beliau akan memenangi PRK berkenaan.

Dengan MIC dan PAS menarik diri daripada bertanding, Anwar kemungkinan besar akan dicabar oleh ADUN Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza, sebagai calon Umno.

Linggi merupakan salah satu daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Port Dickson. DUN Linggi juga adalah kerusi BN yang tidak pernah tewas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Danyal mendapat 36,225 undi dan mempertahankan kerusi berkenaan untuk PKR dengan kelebihan 17,710 undi.

Dua lagi pencabar untuk kerusi itu, BN mendapat 18,515 undi manakala PAS memperolehi 6,594 undi.

Lihat Komen
ADS