Berita Malaysiakini

Pemuda PAS yakin PM kurang senang prestasi Maszlee

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

MUKTAMAR PAS | Jika baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau kurang berpuas hati dengan prestasi barisan kabinet pentadbirannya, PAS pula dapat menghidu menteri yang dimaksudkan itu.

Perkara itu dinyatakan oleh Perwakilan Pemuda PAS Kelantan, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim yang yakin kenyataan Dr Mahathir itu ditujukan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

"Kita mahu menyatakan kedukacitaan terhadap menteri pendidikan. Mungkin kenyataan perdana menteri yang berasa kurang senang dengan (tahap) kerja kuat dan prestasi menteri-menteri.

"Saya yakin kenyataan itu ditujukan kepada menteri pendidikan," katanya ketika sesi perbahasan ucaptama ketua pemuda PAS di Muktamar Dewan Pemuda ke-59 di Kuala Terengganu, hari ini.

Abdul Malik berkata demikian sebagai mengulas beberapa isu membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

IPG Kota Bharu

Katanya, walaupun kerajaan persekutuan bertukar isu yang diperjuangkan oleh warga pendidik khususnya tidak diberi perhatian oleh menteri berkenaan.

"Kelantan mengambil kesempatan untuk menyuarakan isu besar yang diperjuangkan oleh warga pendidik iaitu melibatkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu yang ditukar fungsi kepada kolej profesional oleh kerajaan terdahulu.

"Sedangkan IPG Kota Bharu merupakan IPG kedua terbesar dan tertua dalam negara. Walaupun bertukar kerajaan, isu ini belum diselesaikan walaupun suara-suara warga pendidik yang mahukan IPG Kota Bharu tidak ditukar fungsi," jelasnya.

Tambah beliau, begitu juga dalam isu pelantikan Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan apabila anggota kumpulan G25 dilantik sebagai salah seorang anggota.

"Begitu juga dengan isu pelantikan presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menteri pendidikan sepatutnya mendengar rintihan dan keluhan daripada masyarakat," katanya.