Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hasmah Abdullah dilantik Pengerusi JK Reformasi Cukai
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 6:06 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Hasmah Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Cukai.

"Beliau (Hasmah) mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam pentadbiran pencukaian di mana lima daripadanya adalah sebagai ketua pengarah LHDN.

"Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang pencukaian dan kewangan, iaitu Dr Verinderjeet Singh, Datuk Chua Tia Guan dan Encik Amardeep Singh.

"Jawatankuasa ini dilengkapi dengan penyertaan Setiausaha Bahagian Cukai dan Timbalannya, Dato Khodijah Abdullah dan Mohd Sakeri Abdul Kadir, bersama Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Mohd Hassan Ahmad," kata Lim dalam suatu kenyataan hari ini.

Langkah mereformasikan sistem percukaian kerana kerajaan tidak merancang menaikkan kadar cukai korporat dan invidu, katanya.

"Oleh kerana kerajaan persekutuan tidak merancang untuk menaikkan kadar cukai korporat dan individu, maka kerajaan persekutuan perlu mengambil pendekatan yang lebih holistik dengan mereformasikan sistem pencukaian," maklum beliau.

Dalam kenyataan itu juga, Lim berkata pemansuhan cukai GST mengurangkan kutipan cukai sebanyak RM23 bilion bagi tahun 2019 justeru kerajaan perlu mengkaji langkah meningkatkan cukai tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Langkah ini (memansuhkan GST) dijangka akan mengurangkan kutipan cukai sebanyak RM23 bilion untuk tahun 2019, iaitu jumlah yang akan dikembalikan sebagai hadiah kepada rakyat...

"Memandangkan asas cukai telah dikecilkan, kerajaan juga perlu mengkaji langkah- langkah selanjutnya supaya dapat meningkatkan kutipan cukai secara progresif tanpa membebankan golongan B40.

"Jawatankuasa ini turut ditugaskan untuk memperluaskan dan mempelbagaikan hasil cukai tanpa meletakkan beban tambahan kepada rakyat, serta mencari cara untuk meminimumkan kebocoran cukai," katanya.

Lihat Komen
ADS