Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA tahu Umno bekerjasama dengan PAS
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 6:39 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Atas semangat meraikan kepelbagaian, parti komponen BN tidak wajar menjadikan kerjasama antara Umno dan PAS sebagai suatu masalah.

Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad berkata hal itu berlaku kerana kedua-dua parti mahu menguatkan bangsa dan agama.

Tambahan pula kata Noraini kerjasama itu berlaku tanpa dirahsiakan.

“Dalam maklumat saya secara peribadi dan selaku ketua Wanita Umno, apabila berlaku penyatuan antara Umno dan PAS (ia bertujuan) untuk menguatkan bangsa dan agama.

"Ia (kerjasama itu) juga dalam pengetahuan MCA," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Noraini yang juga anggota parlimen Parit Sulong berkata demikian pada sidang media selepas beliau menghadiri Muktamar Muslimat PAS di Kuala Terengganu hari ini.

Umno kini secara terbuka bergandingan dengan PAS dalam mendepani kerajaan Pakatan Harapan walaupun belum ada sebarang ikatan rasmi yang menghubungkan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun kerjasama itu tidak mendapat reaksi yang positif buat MCA apabila timbalan presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menganggap BN boleh melupakan hasrat untuk memenangi kerusi bukan didominasi pengundi Melayu pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana kata Wee 85 daripada 222 kerusi parlimen mengandungi 35 peratus pengundi Cina dan India.

Daripada jumlah itu 69 daripadanya mempunyai 40 peratus pengundi majoriti bukan Melayu.

Untuk rekod di atas kertas BN kini hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC. Wee pula satu-satunya anggota parlimen dari MCA yang berjaya memenangi kerusi pada PRU ke-14 lalu.

Menurut Noraini dalam BN semua parti meraikan kepelbagaian.

Bagi isu kerjasama dengan PAS pula, Noraini berkata, pihaknya menyerahkan kepada pimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan muktamad.

Lihat Komen
ADS