Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Usul tahaluf dengan Umno hangatkan Muktamar Pemuda PAS

MUKTAMAR PAS |  Dewan Pemuda PAS menerima usul politik yang memohon supaya PAS pusat menentukan rakan politik menerusi kaedah tahaluf sebaliknya bukan melalui kaedah taawun.

Perkara itu dibangkitkan oleh Pemuda PAS Kawasan Kota Raja selepas sesi perbahasan ucaptama ketua pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-59 di Kuala Terengganu, hari ini.

Ia sekali gus mencetuskan sedikit kehangatan selepas perjalanan acara yang berlangsung dengan agak sejuk sejak pagi tadi.

Melalui wakil Pemuda PAS Kota Raja usul kerjasama dengan Umno itu dipecah seperti berikut:

"(Usul) nombor satu, desakan kepada PAS Pusat supaya menentukan rakan politik menerusi kaedah tahaluf dan bukannya taawun yang terlalu anjal.

"(Usul) nombor dua, juga mengambil langkah mengukuhkan Gagasan Sejahtera dengan menzahirkan keihlasan PAS menerusi lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kepada rakan daripada Gagasan Sejahtera.

"(Usul) nombor tiga, sekali gus secara terbuka untuk mereka menjadi agen semak dan imbang, manakala sebarang hubungan dengan Umno-BN mestilah diikat oleh garis-garis yang jelas dan berprinsip, selain dibuktikan menerusi lantikan politik kepada wakil PAS dan Gagasan Sejahtera di dalam kerajaan Umno-BN di Pahang dan Perlis," kata wakil pembahas Pemuda PAS Kota Raja.

Sementara itu, usul tersebut dibantah wakil Pemuda PAS Shah Alam sambil menegaskan pembentangan kertas-kerja kerja oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perkara itu disifatkan sebagai konsep yang luas.

"Saya bantah kerana pendekatan (kerjasama) politik itu luas, bukan sahaja tahaluf. Jadi saya membantah kerana kita boleh buat taawun seperti yang dibuat sekarang.

Sebaliknya, wakil Pemuda PAS Tumpat pula bangkit menyatakan sokongan usul tersebut dengan pindaan dengan menggugurkan pecahan usul nombor satu dan tiga.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi Tetap Muktamar Dewan Pemuda PAS, Dr Ridhuan Mohd Nor mengadakan satu undian bagi bantahan usul atau menyokong usul dengan pindaan.

Undian tersebut akhirnya berpihak kepada sokongan dengan pindaan terhadap usul apabila memperolehi undian sebanyak 273 undi, manakala undi terhadap bantahan usul menerima 58 undi.

Justeru, Muktamar Dewan Pemuda PAS memutuskan usul dengan pindaan tersebut akan dibawa ke Muktamar PAS Pusat untuk dibahaskan.

Terdahulu, sebelum perbahasan usul tersebut perwakilan Pemuda Teluk Intan memohon supaya sesi tersebut berlangsung tanpa disiarkan secara langsung melalui Facebook, manakala wakil Pemuda PAS Teluk Intan memohon supaya media keluar daripada dewan bagi memberi laluan kepada perbahasan,

Timbalan pengerusi tetap bagaimanapun membuat keputusan supaya siaran langsung di Facebook dihentikan kerana usul tersebut sensitif, tetapi membenarkan pengamal media mengikuti perbahasan usul tersebut.

Lihat Komen
ADS