Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan 10 individu disyaki terlibat keganasan

Polis menahan 10 individu melibatkan dua sel berasingan yang masing-masing disyaki merancang melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Melaka dan berkomplot menyerang sebuah negara di Timur Tengah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tangkapan ke atas suspek terlibat dalam kumpulan pengganas itu dibuat dalam operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang dari 11 hingga 31 Ogos, yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata satu sel dikenali sebagai 'Ar Rayah Member' dengan lima anggota berusia antara 18 dan 50 tahun ditangkap pada 25 dan 31 Ogos di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.

"Suspek utama sel ini merancang melancarkan serangan bom asap di tempat-tempat maksiat di sekitar Melaka. Turut dirampas lima bom asap yang siap diproses," kata Mohamad Fuzi.

Menurutnya, serangan bom asap itu bertujuan menimbulkan suasana panik dan kegemparan dalam kalangan pengunjung pusat hiburan sehingga menjurus kepada kecederaan.

Menurutnya, suspek berusia 50 tahun itu adalah peniaga restoran warga asing dan merupakan anggota kumpulan pengganas dari sebuah negara Asia Tenggara, yang bertindak mempromosikan perjuangan kumpulan tersebut melalui aplikasi kumpulan Whatsapp "Ar Rayah Member".

Katanya, suspek juga berperanan mempengaruhi anggota kumpulan bagi menyumbang dana kepada kumpulan pengganas tersebut untuk membeli senjata api dan peluru.

Dalam pada itu, beliau berkata satu lagi sel dengan lima suspek dikenali sebagai kumpulan Asoib atau 'Pemuda dari Timur' ditahan di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Berusia antara 39 dan 53 tahun, mereka disyaki merancang bergabung dengan satu kumpulan pengganas dari sebuah negara Timur Tengah bagi melancarkan serangan di sebuah negara yang bersempadan dengan negara tersebut.

"Sel ini akan dibekalkan dengan pelbagai senjata oleh kumpulan pengganas tersebut sejurus mereka tiba di sana," kata Mohamad Fuzi.

Beliau berkata seorang anggota Asoib telah berlepas ke negara Timur Tengah berkenaan bagi membuat persiapan serta menyelaras operasi serangan tersebut, dan k​​​umpulan ini, katanya, memberi tafsiran salah terhadap hadis mengenai Imam Mahadi.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS