Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | Ketika isu kerjasama antara PAS dan Umno menjadi tumpuan di Muktamar PAS ke-64 yang sedang berlangsung, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin menyeru ahli mengambil iktibar kisah pergaduhan dua anjing dan serigala.

Berucap di Muktamar Dewan Pemuda PAS beliau berkata, dua ekor anjing yang sedang bergaduh akan menghentikan pergaduhannya apabila munculnya serigala.

"Dua ekor anjing sedang bergaduh kerana berebut tulang, tiba-tiba datang seekor serigala.

"Kedua-dua anjing tersebut berhenti bergaduh dan bertindak menyerang serigala kerana sedar serigala itu adalah musuh utama mereka.

"Itu anjing pun boleh berfikir. Jadi sekarang musuh utama kita siapa?" katanya.

Terdahulu Hashim berkata, Majlis Syura Ulama bermesyuarat antaranya membangkitkan isu semasa yang dirasakan perlu untuk dibincangkan kemungkinan wujud masalah dalam kerjasama dengan Umno.

Katanya, sekarang bukan masa sesuai untuk bergaduh dengan Umno dengan suasana orang Melayu berpecah kepada lima parti.

"Kita telah pun mendapat maklumat ada pemimpin di kalangan pemuda dan muslimat yang akan bangkitkan dan menentang habis-habisan.

"Tolonglah belajar daripada kisah anjing tadi. Sesuai ke masa ini untuk kita fikir gaduh dengan Umno?

"Memang kita tak setuju dengan Umno yang buat macam-macam, itu kita tak lupa. Tetapi sekarang musuh utama, apa patut kita buat dan dengan siapa kita berkawan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS