Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK PD | Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun akan mengetuai jentera pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Aminuddin akan dibantu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Saya juga akan bantu Aminuddin sepanjang PRK ini.... dan dalam pertemuan saya dengan Aminuddin tadi, beliau (Aminuddin) turut memaklumkan bahawa dua siri mesyuarat telah diadakan bersama PKR Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat simulasi e-voting dan tatacara pemilihan PKR di Seremban, hari ini.

Saifuddin berkata Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri telah mengadakan mesyuarat dengan parti komponen HARAPAN Negeri Sembilan dan mereka sebulat suara bersetuju membantu proses kempen PRK dalam usaha memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sendiri telah berjumpa dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau mengulangi kesediannya untuk memberi sokongan yang kuat.

“Anwar pula telah bercakap dengan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan ini menjadi indikator kuat bahawa HARAPAN bersatu dalam persiapan PRK,” katanya .

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata pendekatan kempen pada PRK kali ini adalah dengan menemui setiap pengundi secara bersemuka dalam usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah yang meletak jawatan selaku Ahli Parlimen kawasan itu untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS