Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Memang kerajaan HARAPAN ada kelemahan, cuma...'

KATA MP | Portal berita Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan presiden PAS yang mengulas mengenai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Antara lain beliau dilaporkan berkata:

  • Kerajaan HARAPAN sekarang banyak kelemahan
  • Antara kebejatan Putrajaya ialah yang melibatkan kes kes mahkamah
  • Pada zaman BN memerintah, ada juga menteri besar ketika itu dibawa ke mahkamah, didakwa dan dibicarakan atas tuduhan rasuah, kemudian dihukum penjara
  • Beliau kata HARAPAN baru memerintah empat bulan tetapi sudah ada masalah, dan keadaan tentu menjadi lebih buruk jika diberi tempoh lagi sehingga 60 tahun.
  • Maaf ya, saya kena jawab. Dan untuk menjawab, saya cuma nak tanya sikit.

Masa YB itu komen seperti di atas itu, adakah YB sudah berfikir seribu kali, sebab nampak macam YB tak cermat, malah gopoh.

Namun saya cuba jawab juga - insya-Allah - setiap komen itu walaupun tak berapa pandai.

Memang saya akui HARAPAN ada kelemahan. Ya, kami mengaku salah (plead guilty), dan insya-Allah kelemahan itu akan berterusan selepas ini sebab tidak mungkin kami akan capai tahap sempurna atau kami akan sampai ke tahap sempurna.

Bagaimanapun satu perkara yang pasti ialah, kami - kerajaan HARAPAN - sedang kerja keras ingin membawa perubahan di sebalik kelemahan yang ada di sini-sana.

Kami sedang berusaha sekeras yang boleh untuk membetulkan segala kesalahan, meluruskan yang bengkok, mewangikan yang busuk, membersihkan yang kotor, memperbaiki yang rosak dan pelbagai lagilah.

Memanglah ia bukan mudah. Kami mewarisi pelbagai "barangan buruk dan busuk" yang berusia 60 tahun.

Nak tanya sikit

Orang yang biasa sokong "benda buruk dan busuk" tak mengapalah, mungkin mereka sudah biasa. Kami tak biasa.

Mengenai HARAPAN lemah - ya, itu kami setuju. Semasa beliau menjadi menteri besar di satu negeri dulu memang kerajaan berkenaan langsung tidak ada sebarang kelemahan.

Sebab itulah kerajaan YB berjaya bertahan satu penggal sahaja.

Mengenai kes-kes mahkamah, ya YB, ini topik kegemaran saya.

Betul, saya setuju dulu ada menteri besar yang kena tangkap, dibicara dan disabitkan di mahkamah. Tapi yang tidak dibicarakan pun ada juga, YB.

Yang terang-terang menteri dituduh terlibat dalam rasuah atau politik wang oleh parti dia sendiri, malah dihukum pula oleh partinya namun dia terlepas daripada dakwaan.

Malah orang yang disabitkan bersalah oleh partinya dilantik menjadi calon dalam pilihan raya kecil.

Tidak cukup dengan itu, orang yang sama itulah kemudian dilantik ke jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Tidakkah YB teringat akan hal itu?

Cuma ada satu kes yang tidak ada pada zaman BN tetapi ada semasa era kerajaan HARAPAN. Apakah itu, YB?


Baca 'HARAPAN lebih dahsyat dari Umno'


Ya, betul! Pendakwaan ke atas mantan perdana menteri dan peguam bela mantan perdana menteri itu. Ini satu rekod, YB.

Kita juga tahu YB cuba menyindir keputusan Pejabat Peguam Negara kerana menarik balik pendakwaan ke atas Menteri Kewangan.

Saya nak tanya sikit: semasa pendakwa menarik balik kes suami menteri wanita yang melibatkan isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) adakah YB bersuara?

Apabila Peguam Negara tidak merayu selepas Razak Baginda dibebaskan, YB ada bersuara?

Beginilah YB, orang putih kata "empty vessels make the most noise". Empty vessels ni orang macam kamilah. Orang yang mulia pula vessels mereka penuh dan berisi YB.


HANIPA MAIDIN ialah timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap anggota parlimen Sepang mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH).

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS