Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan penyokong PAS: Sebat terbuka beri kesan positif

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyuarakan sokongan terhadap hukuman sebat terbuka terhadap pasangan lesbian di Terengganu awal bulan ini dan menyifatkannya telah membawa kesan sosial positif kepada negeri itu.

DHPP juga menggesa masyarakat bukan Islam agar tidak bimbang dengan pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini, apatah lagi ia tidak melibatkan mereka.

Ketua DHPP S Balasubramaniam berkata mereka mendapati keadaan sosial di Terengganu semakin baik selepas pelaksanaan hukuman itu.

"Ia dinyatakan dalam Quran dan dilaksana oleh mahkamah Syariah. kmai harap hukuman ini akan menjadikan orang ramai lebih sedar dan tidak melakukan perbuatan (yang salah) di masa akan datang.

"Saya juga baru dapat tahu bahawa remaja di Terengganu sudah mula berkelakuan baik.

"Ini (pelaksanaan hukuman) telah membantu memperbaiki kelakuan mereka, (sehingga) takut untuk terlibat dalam kegiatan tidak bermoral," katanya kepada Malaysiakini selepas melancarkan konvensyen nasional DHPP di Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak.

Berkenaan peranan sayap itu dalam PAS, Balasubramaniam berkata mereka akan berusaha meningkatkan sokongan pengundi bukan Islam terhadap parti itu.

Katanya, DHPP akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berkomunikasi secara giat dengan masyarakat bukan Islam serta menjelaskan perjuangan parti itu.

"Kami harap dapat meningkatkan bilangan penyokong bukan Islam PAS melangkaui Pakatan Harapan.

"Sebenarnya, HARAPAN mampu menubuhkan kerajaan (selepas PRU ke-14) kerana orang ramai mahu mengubah kerajaan, bukan kerana HARAPAN boleh memberi kebaikan kepada masyarakat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS