Berita Malaysiakini

Mahkamah Rayuan beri hak penjagaan kanak-kanak kepada bapa penganut Buddha

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan penuh dua kanak-kanak yang diislamkan semasa dijaga oleh ibu mereka, kepada bapa mereka yang beragama Buddha.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan kelmarin membenarkan rayuan ahli perniagaan itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memberikan hak penjagaan kepada ibu kanak-kanak berkenaan yang memeluk Islam.

Peguam Honey Tan Lay Ean yang mewakili bapa kanak-kanak berkenaan berkata mahkamah rayuan mendapati terdapat merit di dalam rayuan itu.

Beliau berkata bapa kanak-kanak berkenaan diberikan hak penjagaan sepenuhnya, kawalan dan jagaan ke atas anak lelakinya berusia lima tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

“Mahkamah Rayuan memandang kelakuan ibu kepada kanak-kanak itu menukarkan agama anak-anak itu kepada Islam dan tindakannya sendiri tidak dibuat berdasarkan apa yang terbaik untuk kanak-kanak itu,” katanya.

Mahkamah rayuan juga memerintahkan RM30,000 yang dibayar oleh bapa kanak-kanak itu sebagai kos di Mahkamah Tinggi Shah Alam dipulangkan.

Ibu kedua-dua kanak-kanak itu menukarkan agama mereka ketika berusia lapan dan tiga tahun kepada Islam pada 11 Mei, 2016 tanpa pengetahuan dan keizinan bapa mereka.

Ibu kanak-kanak berkenaan memeluk Islam pada Disember 2015.

Nama ibu-bapa dan kanak-kanak berkenaan dirahsiakan oleh mahkamah.

Bapa kanak-kanak berkenaan turut mencabar pengislaman anak-anaknya, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan keputusan permohonan semakan kehakiman yang dimohonnya akan diketahui pada 16 Oktober depan.

Tan berkata ia adalah satu keputusan yang tepat dan berani oleh mahkamah rayuan untuk memberikan hak penjagaan sepenuhnya, kawalan dan jagaan kepada kanak-kanak Muslim itu kepada bapa mereka yang beragama Buddha.

“Ia mengingatkan bahawa prinsip penting ialah memastikan yang terbaik untuk kanak-kanak itu dalam melakukannya,” katanya.

- Bernama