Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Proton capai sasaran 92% untuk naik taraf cawangan
Diterbitkan:  Sep 15, 2018 7:16 AM
Dikemaskini: 11:58 PM

Proton Holdings Bhd telah mencapai 92 peratus daripada sasaran untuk menaik taraf cawangan 3S dan 4S sehingga 31 Ogos lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Li Chunrong dalam satu kenyataan berkata 100 daripada 109 cawangan yang disasarkan untuk Oktober telah diluluskan.

"Pengukuhan jenama Proton juga telah menyumbang kepada jualan yang sekarang ini bergerak dalam aliran menaik sejak tiga bulan lepas, jualan pada Ogos telah mencecah 18 peratus berbanding bulan sebelumnya, dengan jualan sebanyak 9,501 unit, angka tertinggi dalam tempoh 36 bulan.

"Kami amat yakin bahawa momentum ini akan terus melonjak pada bulan-bulan akan datang, terutama dengan kedatangan kenderaan utiliti sukan pertama (SUV) Proton," katanya.

Menurut beliau lagi, tempahan SUV Proton yang dinanti-nantikan itu, X70, telah dibuka sejak 8 Sept lepas dan menambah, syarikat meramalkan tempahan akan meningkat apabila tarikh pelancaran rasmi semakin mendekat.

Sementara itu, Proton secara rasmi telah melancarkan cawangan 3S, Atiara Johan Sdn Bhd di Puchong hari ini, ia menggantikan bilik pameran 1S syarikat itu yang terletak di Pandan Indah.

Cawangan baharu itu dibina dengan kos kira-kira RM3.5 juta dengan keluasan binaan sebanyak 1,700 meter persegi.

Pengarah Urusan Atiara Johan, Judith Yam berkata memandangkan ia berada di lokasi strategik, cawangan itu akan meningkatkan jualan sebanyak 60 peratus, manakala perkhidmatan penyelenggaraan akan menjanjikan aliran pendapatan baharu untuk cawangan tersebut.

"Kami mengambil peluang untuk menaikkan taraf kepada sebuah pusat 3S daripada 1S kerana kami tahu, ini merupakan langkah terbaik bagi perniagaan kami dalam jangka panjang.

"Kami sedar untuk selaras dengan hala tuju baharu perniagaan Proton, kami perlu berwajah baharu yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi menyediakan tahap jualan terbaik dan pengalaman perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan-pelanggan kami," kata Yam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS