Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa anggota parlimen (MP) parti itu menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk memberi kuasa kepada presiden Umno mengadakan pakatan baru dengan parti lain, termasuk Pakatan Harapan (HARAPAN) atau PAS.

Zahid memberitahu Malay Mail semua 51 MP Umno menandatangani SD tersebut.

Beliau juga dilaporkan berkata Umno tidak menolak kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan parti komponan HARAPAN walaupun ketika ini Umno lebih rapat denan PAS.

 

Pada Khamis lalu Nazri mendedahkan kewujudan SD ketika mewajarkan pendirian beliau untuk berkempen memenangkan Datuk Seri Anwar yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson tidak lama lagi.

Nazri yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno berpendapat Umno tidak wajar meletakkan calonnya bagi menentang Anwar pada PRK berkenaan.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu berkata tidak bijak untuk Umno mengeruhkan hubungan mereka dengan PKR kerana pertubuhan itu kini parti utama di Dewan Rakyat.

[Baca berita penuh]