Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS takkan ikut langkah pengecut sebut Islam, kata Abdul Hadi

MUKTAMAR |  Bagi menghadapi senario politik dan masyarakat yang berubah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS perlu membuat keputusan dasar dan strategi politik yang penting.

Menurut presiden PAS itu, berpandukan ijtihad semasa dalam hal itu, PAS tetap konsisten memilih pendekatan budaya politik matang dan sejahtera dengan semua pihak.

"Ia dengan bersikap damai terhadap kerajaan persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara dan kesediaan menjalikan kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin serta barisan pemimpin tertinggi parti, selain tetamu istimewa iaitu wakil dari Umno diketuai presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menyertai ketua pembangkang itu ialah dua daripada tiga naib presiden Umno iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tidak ketinggalan Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dan ketua penerangannya Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Abdul Hadi berkata, dalam langkah politiknya PAS tetap berterus terang bersama dasarnya dan tidak terikut-ikut dengan langkah pengecut pihak tertentu yang malu menyebut Islam.

Bekas menteri besar Terengganu itu juga menegaskan PAS tetap menolak pendekatan keras tanpa kebijaksanaan.

"PAS tetap mengambil pendekatan politik damai dengan semua pihak termasuk musuh dan lawan, kerana inilah cara untuk meramaikan ahli dan penyokong, serta menjadi rahsia ketahanan PAS yang tidak pernah diharamkan sejak penubuhannya, berbeza dengan pengalaman gerakan Islam di negara lain," jelasnya.

Justeru tambah anggota parlimen Marang itu, PAS wajib berijtihad berlandaskan hukum Islam dan menguasai fikah politik Islam.

"Ia khususnya membabitkan fiqh muwazanah (fikah pertimbangan), fiqh waqie' (fikah setempat), fiqh aulawiyyat (fikah keutamaan) dan maalat (implikasi kaum) bagi memastikan PAS sentiasa berada di landasan kebenaran.

"Di sana ada keperluan untuk PAS membuat keputusan dasar dan strategi politik yang penting, memerlukan kepada kebijaksanaan anggota Majlis Syura Ulama dan anggota Jawatankuasa Pusat PAS bagi menentukan sikap dan pendirian parti dengan penuh hikmah, mengikut mandat dan kepentingan semasa agar tidak tergelincir daripada dasar, prinsip dan matlamat perjuangan," kata Abdul Hadi.

Lihat Komen
ADS