Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR | PAS menyatakan kesanggupan mereka meletakkan calon bagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson jika tiada parti lain bersedia berbuat demikian, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, PAS berpendirian Anwar tidak wajar diberi kemenangan percuma pada PRK berkenaan dan pada masa sama mahu meraikan demokrasi di negara ini.

Justeru kata presiden PAS itu partinya sanggup menurunkan calon di kerusi parlimen yang dimenangi PKR itu sejak tiga penggal lalu.

"PAS tak mahu bagi menang percuma, kalau tak ada orang bertanding PAS boleh bertanding," katanya kepada media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan media mengenai kesediaan PAS sekiranya parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di PRK Port Dickson.

Untuk rekod PKR mula memenangi kerusi parlimen itu (dulu dikenali sebagai Teluk Kemang) pada 2008 dengan mengalahkan pemimpin kanan MIC, Datuk S Sothinathan dengan majoriti 2,904 undi.

Pada PRU ke-11 (2004) Sothinathan memenangi kerusi tersebut dengan kelebihan 17,777 undi.

Apabila PRU ke-14 berlangsung pada 9 Mei lalu calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Danyal Balagopal Abdullan mempertahankan kerusi tersebut dengan kelebihan 17,710 undi.

PAS turut meletakkan calonnya pada 9 Mei lalu namun hanya mendapat 6,594 undi berbanding calon BN yang lebih banyak mendapat sokongan iaitu 18,515 undi.

Secara keseluruhan kerusi parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan 43 peratus adalah Melayu, Cina 33 peratus, India 22 peratus dan selebihnya bangsa lain.

Kerusi parlimen Port Dickson dikosongkan Danyal pada 12 Sept lalu bagi membuka laluan kepada Anwar menjadi anggota Dewan Rakyat.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata penyertaan pembangkang dalam PRK berkenaan akan memberi faedah, dengan sekurang-kurangnya boleh mengadakan latihan bersama pembangkang lain untuk menghadapi pilihan raya.

"Menang atau kalah (jangan) kira, (sebagai) latihan bersama pilihan raya akan datang," jelasnya yang juga anggota parlimen Marang.

Lihat Komen
ADS