Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR | Dalam kenyataan yang dianggap jarang diungkapkan sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka memberikan sedikit pujian buat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Abdul Hadi beliau melihat perdana menteri sekarang semakin matang berbanding sewaktu kali pertama menduduki jawatan berkenaan kira-kira 30 tahun lalu.

Menurut beliau kematangan tersebut dapat dilihat kepada keterbukaan Dr Mahathir mahu menyalurkan royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan.

"Sebab itu dia janji nak bagi balik royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

"Itu berlaku (nampak) kematangannya," ujarnya.

Abdul Hadi berkata demikian semasa ditanya media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dan timbalan Abdul Hadi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terengganu tidak mendapat royalti daripada pengeluaran petroleum di perairan negeri berkenaan selepas PAS mengalahkan BN pada PRU ke-10 pada 1999.

Ekoran kemenangan PAS itu Abdul Hadi dilantik menjadi menteri besar Terengganu.

Sejak itu penyaluran wang daripada aktiviti telaga minyak di Terengganu disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan sebagai wang ihsan.

Bagaimanapun PAS - yang bekerjsama dengan PKR ketika itu - hanya bertahan selama sepenggal apabila BN kembali memerintah Terengganu pada 2004.

Menurut Abdul Hadi perubahan suasana, persekitaran dan masyarakat mungkin mempengaruhi cara pemikiran Dr Mahathir ketika ini.

Dr Mahathir juga katanya melalui lebih banyak pengaman, sesuai dengan usianya 93 tahun ketika ini.

"Dia (belajar) daripada kelemahan dulu, dengan memperlajari kelemahan dulu itu kita jangka dia lebih matang," katanya.

Lihat Komen
ADS