Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Umno tidak bercadang untuk mengambil tindakan ke atas salah seorang bekas menterinya jika beliau berkempen untuk memenangkan pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson tida lama lagi.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sentiasa mengalu-alukan perbezaan pandangan dalam parti.

Ahmad Zahid sebelum itu ditanya media mengenai pendirian Umno terhadap kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz seperti dilaporkan Malaysiakini pada 13 Sept lalu.

"Apa keperluannya (untuk mengambil tindakan disiplin ke atas Nazri)?" katanya.

Nazri yang juga bekas menteri pelancongan dan kebudayaan berkata beliau bercadang untuk berkempen membantu Anwar pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi parlimen Port Dickson tidak lama lagi.

"Saya serius," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya sama ada beliau bergurau.

Ditanya alasannya mahu berkempen untuk Anwar, Nazri langkah itu dianggap jalan terbaik untuk Umno bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan.

Bukan mewakili parti

"Saya tidak jangka Umno akan jadi kerajaan dalam masa terdekat, tapi terdapat pendapat di kalangan anggota parlimen Umno bahawa kita perlu kembali menjadi kerajaan secepat mungkin.

"Satu-satunya cara untuk melakukan perkara itu adalah dengan bekerjasama dengan PKR... Jadi kita perlu tunjuk niat baik jika kita, jika kita ingin jadi kerajaan, biarkan Anwar menang," katanya.

Untuk rekod Nazri memang dikenali sebagai seorang personaliti yang selalu berterus terang malah sesekali mengundang kontroversi melibatkan parti atau pihak di luar politik.

Pada masa sama Nazri juga lincah berkata-kata serta tajam menyindir.

Kata Ahmad Zahid beliau tidak melihat ada sebarang masalah jika Nazri benar-benar berkempen untuk memenangkan Anwar di Port Dickson walaupun Umno meletakkan calonnya bagi mencabar PKR.

"Saya tak nampak ada sebarang masalah. Saya sering meraikan perbezaan pendapat," katanya.

Ahmad Zahid ditemui media selepas mengetuai rombongan pemimpin tertinggi Umno menghadiri Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu hari ini.

Selain Ahmad Zahid delegasi Umno turut disertai dua daripada tiga naib presidennya. Hanya Datuk Mohamed Khaled Nordin tidak bersama rombongan tersebut pagi tadi.

Tidak ketinggalan Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dan ketua peneranga parti itu Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad Zahid juga menegaskan kenyataan Nazri bahawa Umno atau BN perlu bekerjasama dengan PKR untuk menjadi kerajaan sebelum bersifat peribadi.

Katanya pandangan anggota parlimen Padang Rengas itu tidak mewakili suara Umno atau BN.

"Nazri tidak mewakili Umno atau BN secara keseluruhan.

"Dia bertindak mewakili dirinya sendiri sebagai salah seorang anggota parlimen dan ketua bahagian Umno, justeru saya menghormati pandangan peribadi beliau," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS