Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Langkah PD untuk Anwar bersama dalam k'jaan - AMANAH
Diterbitkan:  Sep 15, 2018 8:08 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

PRK PD | Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu melihat pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di parlimen Port Dickson sebagai langkah membolehkan para pemimpin utama Pakatan Harapan (HARAPAN) berada bersama dalam kerajaan.

"AMANAH melihat betapa pentingnya pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan untuk berada bersama dalam kerajaan agar reformasi sistem seperti yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

"(Anwar bertanding) bagi membolehkan beliau menjadi ahli parlimen adalah satu langkah ke arah mencapai hasrat yang dijanjikan itu," kata Mohamad dalam suatu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata Anwar berhak bertanding dan AMANAH menyokong pengumuman pemimpin tertinggi PKR itu.

"... mana-mana individu berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan yang difikirkan sesuai seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan," katanya.

Sementara itu Pemuda Amanah Nasional dalam suatu kenyataan berasingan berkata kembalinya Anwar ke parlimen akan melengkapkan pelan peralihan kuasa HARAPAN.

"Kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli parlimen akan membantu ke arah melengkapkan pelan peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui secara bersama ... melalui Muafakat Pakatan Harapan bertarikh 6 Januari 2018.

"... yang telah mempersetujui Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8," kata Ketua Pemuda AMANAH Mohd Sany Hamzan.

Dr M sokong pencalonan, tak turun kempen

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK).

Mahathir juga berkata beliau menyokong pencalonan Anwar tetapi tidak akan turun berkempen untuknya.

Pada 12 September lalu, PKR mengumumkan kerusi parlimen Port Dickson akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ.

Ketika ditanya amaran BERSATU Port Dickson agar Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani agar tidak turun berkempen di sana, Mahathir berkata anggota bahagian itu berhak untuk menyuarakan pandangan mereka.

Penyelaras BERSATU Port Dickson Ramli Awang berkata pihaknya mengalu-alukan Anwar untuk bertanding tetapi tidak dapat menerima Rafizi dan Abdullah kerana menuduh Mahathir dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar.

"Itu pandangan bahagian. Anggota adakala tidak ikut peraturan...(tetapi) mereka ada hak untuk suarakan pendirian," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS