Berita Malaysiakini

Perwakilan: PAS bukan berjuang untuk tumbangkan Umno

Hariz Mohd  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

MUKTAMAR | Perjuangan PAS bukan untuk menumpaskan Umno tetapi menegakkan kedaulatan Islam, kata seorang perwakilan muktamar malam ini.

Justeru itu, sesiapa sahaja yang bersetuju dengan gagasan mendaulatkan Islam itu adalah kawan PAS, kata perwakilan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin .

"Sehingga ada mengatakan bila Umno dah nak mati kenapa nak bagi nafas kepada Umno, kita berjuang bukan kerana nak tumbangkan Umno tapi kita berjuang untuk daulat Islam.

"Siapa sahaja setuju mendaulatkan Islam maka ia adalah kawan PAS, siapa menutup harapan mendaulat Islam maka dia adalah musuh PAS," tegasnya.

Mohd Akmal berkata dalam sejarah kerjasama PAS bersama parti-parti lain menunjukkan apabila pihak berkenaan memutuskan kerjasama mereka kembali menjadi cacamarba.

'Dandan' DAP jadi baik bila kawan PAS

"Sejarah telah menunjukkan siapa sahaja bekerjasama dengan PAS dandan (tiba-tiba) mereka berubah walaupun selepas mereka tidak berkawan dengan PAS mereka kembali menjadi jahat dan cacarmarba.

"Apa yang Datuk Seri Anwar (Ibrahim) tak kata kepada Tok Guru Nik (Abdul) Aziz (nik Mat) sebelum berlakunya kerjasama. Tetapi selepas berlaku kerjasama maka dandan (tiba-tiba) Anwar puji Tok Guru Nik Aziz.

"Bila DAP bersama kita DAP baca ayat quran dandan (tiba-tiba) DAP jadi baik bila berkawan dengan PAS," katanya lagi.

Menurut Mohd Akmal lagi, PAS Perak menyerahkan kepada kebijaksanaan Majlis Syura Ulama untuk memutuskan mengenai kemungkinan kerjasama dan pakatan bersama Umno.

"Perak akan sambut segala keputusan Majlis Syura Ulama berkaitan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak," katanya.