Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Pahang tuntut cuti Jumaat jika Umno serius kerjasama

MUKTAMAR | PAS Pahang membangkitkan cadangan kepada Umno Pahang supaya menyelaraskan cuti mingguan pada hari Jumaat seperti mana diamalkan Kelantan, Terengganu dan Johor.

Menurut Perwakilan PAS Pahang, Zuridan Daud, jika Umno benar-benar serius untuk bekerjasama dengan PAS mereka perlu buktikan dengan mengusahakan saranan cuti tersebut.

"Secara umumnya kita melihat kesan di negeri Pahang pada hari ini, kita melaksana tugas dengan baik dalam DUN (dewan undangan negeri) dan kerajaan negeri Pahang menerima baik kehadiran kita.

"Kita cuma ada satu permintaan, kalau betul Umno hendak bersama dengan kita, kami ADUN di Pahang bersepakat menuntut agar hari Jumaat hari cuti seperti mana Kelantan Terengganu dan Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar presiden PAS sempena Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu, hari ini.

Tanda kesungguhan kerjasama Umno-PAS

Zuridan yang juga ADUN Damak berkata, pihaknya memohon supaya kerajaan Pahang berusaha menjadikan hari Jumaat sebagai cuti mingguan sebagai tanda dan bukti kesungguhan untuk bekerjsama dengan PAS.

"Kita menyeru kerajaan Pahang, mohon kepada pimpinan di Pahang supaya berusaha menjadikan hari Jumaat juga adalah hari cuti sebagai tanda dan bukti kesungguhan untuk bekerjasama," tegasnya.

Tambah beliau, pendekataan kerjasama itu amat sesuai lebih-lebih lagi dengan kekalahan Umno dan BN di peringkat pusat.

"Di Pahang dengan kekurangan kerusi yang mereka ada hari ini, kita lihat hubungan ini semakin akrab dari sudut memperkasakan perkara-parkara yang baik sesuai dengan al-Quran dan sunnah.

"Justeru kita mesti meneliti sejauh mana keikhlasan Umno dan BN dalam menerima dasar-dasar kita dan tidak menentang usaha kita untuk mengeratkan syariah Allah," ujarnya.

Lihat Komen
ADS