Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 lelaki didakwa guna politik wang pemilihan cabang PKR ditahan
Diterbitkan:  Sep 16, 2018 8:59 AM
Dikemaskini: 5:14 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam politik wang bagi pemilihan pemimpin cabang PKR di Kedah, semalam.

Menurut sumber, suspek pertama berusia 48 tahun ditahan pada pukul 12.20 tengahari di sebuah restoran di Alor Setar manakala suspek kedua yang berusia 46 tahun pula ditahan pada pukul 3.25 petang di Plaza Tol PLUS Pendang.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dikatakan terlibat meminta wang suapan sebanyak RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan agar namanya yang telah didaftarkan untuk pemilihan parti dikekalkan di dalam sistem sekali gus layak untuk bertanding.

Sumber berkata, suspek terbabit sebelum itu telah memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain lagi akan digugurkan daripada senarai nama calon namun boleh dikekalkan sekiranya membayar suapan tersebut.

Tambah sumber, susulan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan mengenai penahanan tersebut.

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," ujarnya.

Dua lelaki berkenaan kini direman enam hari bagi membantu siasatan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohd Izham Ali mengeluarkan perintah reman bermula hari ini sehingga Jumaat ini (21 September) SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Lihat Komen
ADS