Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS berlapang dada lupakan 'luka besar' buatan Umno
Diterbitkan:  Sep 16, 2018 12:27 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

MUKTAMAR |  PAS membayangkan mereka akan cuba melupakan 'luka' yang dilakukan Umno ke atas mereka - termasuk yang besar-besar - demi menyelamatkan rakyat negara ini.

Perwakilan Pulau Pinang Yusni Mat Piah berkata PAS masih ingat bagaimana ramai pemimpin parti itu diperlakukan dengan pelbagai tekanan termasuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibelasah pihak berkuasa dan sebagainya.

Lebih daripada itu kata Yusni 'luka' yang masih diingati dengan jelas hingga kini ialah Peristiwa Memali yang berlaku pada 1985 di Kedah.

Namun di sebalik 'luka besar' itu katanya, PAS memiliki jiwa yang juga besar sehingga bersedia melupakan kesan yang dilakukan oleh Umno terhadap parti berkenaan.

"Walaupun luka itu luka besar, tetapi PAS berjiwa besar insya-Allah.

"Demi survival (kelangsungan) Islam, demi memastikan kita hendak menyelamatkan rakyat yang hari ini ditipu, yang hari ini kita lihat kos hidup terus membelit rakyat, maka kita hendak memastikan perkara ini (kerjasama dengan Umno) insya-Allah direalisasikan.

"Luka besar itu kita lupa dan kita berlapang dada, mengambil (contoh daripada) apa yang ditunjukkan oleh nabi kita SAW,” katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Yusni berkata demikian semasa membahas ucapan dasar presiden PAS di muktamar ke-64 parti terbabit di Kuala Terengganu semalam.

Serah pada pemimpin bijaksana

Muktamar itu akan melabuhkan tirainya hari ini.

Yusni yang juga wakil rakyat tunggal PAS di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengajak anggota serta penyokong parti itu melihat perkembangan semasa dari perspektif Islam bagi membolehkan segala kebaikan ajaran agama diketengahkan.

Untuk menjelaskan hujahnya bekas ketua pemuda PAS Pulau Pinang itu memetik sejarah pembunuhan Sayidina Hamzah Abdul Mutalib oleh Wahshi Harb dalam Perang Uhud pada zaman Rasulullah.

Katanya walaupun Wahshi membunuh salah seorang pahlawan Islam Nabi Muhammad menerima lelaki terbabit selepas dia memeluk Islam.

Yusni yang juga anak mangsa Peristiwa Memali berkata Nabi Muhammad bersikap demikian kerana mengikut apa yang dianjurkan Islam.

Katanya taawun siyasi (kerjasama politik) antara PAS dengan parti lain mesti dilihat secara jauh bagi membolehkan persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.

"Ia bagi memastikan blok pembangkang menumpukan strategi satu lawan satu untuk menewaskan Pakatan Harapan supaya kelangsungan Islam di Malaysia dapat diteruskan," katanya yang yakin mereka boleh menang besar jika formula tersebut berjaya dilaksanakan.

Pada masa sama Yusni berkata PAS menyerahkan isu kerjasama berkenaan kepada kebijaksanaan pemimpin mereka dan anggota pula mesti mempercayai keputusan yang diambil.

Lihat Komen
ADS