Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mah lepas jawatan presiden Gerakan
Diterbitkan:  Sep 16, 2018 12:50 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan.

Mah berkata langkah itu adalah ekoran prestasi buruk Gerakan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 apabila mereka gagal memenangi sebarang kerusi parlimen berbanding satu kerusi pada PRU ke-13.

“Tiga atau empat bulan lepas saya mendapat banyak rayuan daripada anggota parti supaya terus kekal sebagai presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk berbanding dulu, maka saya akan letak jawatan.

“Saya berterima kasih pada semua (anggota parti) dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai presiden,” katanya ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Terdahulu Mah yang juga bekas anggota parlimen Teluk Intan merasmikan persidangan perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan.

Ia menjadi program terakhir beliau selaku presiden parti Gerakan.

Pada PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu Gerakan kalah di semua 11 kerusi parlimen dan 31 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang ditandinginya.

Gerakan yang menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun lepas, akan memiliki presiden baru selepas ini.

“Kita akan ada pemimpin baharu.

"Saya telah mengetuai parti Gerakan dan mesti mengambil tanggungjawab walaupun ramai yang kata ini bukan salah kita, tetapi sebagai presiden mesti ambil tanggungjawab,” katanya.

Mah berkata Gerakan yang kini dalam proses pemilihan parti perlu mengekalkan pemimpin lama dan digabungkan sekali dengan yang baru bagi memastikan ia dapat dibangunkan semula.

“Sesuatu parti, kita tak boleh (letakkan semua pemimpin) yang baru, sesetengah daripadanya perlu kekal hingga kita bangun semula tetapi presiden tak boleh,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS