Berita Malaysiakini

Mujahid Siber PAS dituntut jadi pendekar alam maya

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS menuntut wira siber mereka memberikan khidmat seperti seorang pendekar yang tangkas, berani, berjiwa besar serta berakhlak bagi mendepani musuh mereka.

Komander Mujahid Siber PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata skuad berkenaan ditubuhkan agar mereka mampu berpencak di alam siber, selain memurnikan fikrah daripada keserabutan dicipta pihak luar.

Kata Nasrudin Mujahid Siber PAS harus melaksanakan tugas menyalurkan ilmu dan maklumat bermanfaat dan pada masa sama tangkas menangkis fitnah serta sanggup berkorban.

Semua itu katanya merupakan satu jihad dan bakal diganjarkan dengan pahala yang besar dari Allah.

"Tentu sahaja pengorbanan tinggi sangat dituntut daripada Mujahid Siber PAS, khasnya pengorbanan masa, usaha dan perasaan untuk keluar dari sempadan bumi nyata lalu memasuki galaksi siber bagi tujuan memurnikan fikrah Islamiah dan menyanggah fitnah," katanya dalam satu kenyataan disiarkan harakahdaily hari ini.

Nasrudin yang juga ketua penerangan PAS Pusat berkata skuad mujahid siber itu ditubuhkan untuk 'berpencak' di alam siber ketika nilai dan tahap indeks maklumat sebenar di negara ini didakwanya merosot teruk.

"Sukar membezakan antara fitnah dan berita.

"Lebih malang apabila fitnah dikunyah lahap tanpa mereka menyedari bahawa ia adalah racun yang melumpuhkan minda untuk berfikir dengan harmoni," katanya.

PAS sedang mengadakan muktamar tahunannya di Kuala Terengganu sejak Khamis lalu dan ia bakal berakhir petang ini.