Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taawun - Tarbiah dulu baru terima, kata Dewan Ulama PAS
Diterbitkan:  Sep 16, 2018 1:18 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

MUKTAMAR | Kepimpinan PAS diingatkan tidak beria-ia menjalinkan kerjasama dengan pihak yang ingin bertaawun dengan parti itu sebelum memahami kehendak dan perjuangan utama PAS sebagai parti pembangkang yang memperjuangkan Islam.

Itu antara syarat yang diletakkan Dewan Ulama PAS yang dikemukakan wakilnya, Zulkarnain Hassan, ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

PAS sedang mengadakan muktamar tahunannya di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Kuala Terengganu.

"Pastikan pihak yang ingin bertaawun yang datang kepada kita terlebih dahulu, bukan sebaliknya kita yang beria-ia pergi kepada mereka," katanya.

Dewan Ulama turut menetapkan tiga lagi syarat iaitu sentiasa meletakkan Islam sebagai keutamaan, tidak meninggalkan asas perjuangan parti serta kerjasama yang dijalinkan haruslah berlandaskan untuk mengukuhkan blok pembangkang.

"Pihak yang ingin bertaawun juga harus terlebih dahulu ditarbiah dan diberi penerangan secukupnya jika mereka mahu bersama-sama kita dalam agenda memperkukuhkan Islam," katanya.

Zulkarnain berkata syarat itu perlu diletakkan bagi mengelak kejadian beberapa bekas pimpinan yang sanggup meninggalkan parti kerana mengutamakan agenda politik dan kepentingan peribadi.

Bagaimanapun beliau berkata Dewan Ulama bersikap thiqah dan yakin dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti jika jalinan kerjasama dengan pihak lain tetap dilaksanakan.

"Kami meletakkan keyakinan dan thiqah kami kepada kepimpinan parti dan Majlis Syura yang akan membuat keputusan bersandarkan kepada ilmu dan ketakwaan berhubung kerjasama itu dan berharap sebarang keputusan yang dibuat dapat diterima oleh semua anggota parti," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS