Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dituntut terajui survival politik Islam-Melayu

MUKTAMAR | PAS dituntut supaya menerajui usaha-usaha untuk menyatukan survival politik Islam-Melayu di negara ini.

Perkara itu diusulkan Dewan Pemuda PAS sebagai usul kesatuan umat yang terkandung dalam dokumen usul Muktamar PAS ke-64, di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut usul tersebut, perkara itu penting kerana menyedari wujudnya gelombang perubahan dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap politik, serta tuntutan massa yang memerlukan PAS segera bertindak.

"Memperakui perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama kepada negara ini menjadi punca kuasa dan penentu kelangsungan pembinaan dan masa depan serta keharmonian kaum.

"Menginsafi betapa sejarah sentimen perkauamn dan agama secara salah telah menatijahkan ketidaktenteraman dan sengketa awam yang sama sekali mesti disekat dan dihindari," kata usul berkenaan.

Usul yang diterima tanpa bahas itu juga menyebut agar anggota PAS menyedari "ancaman" terhadap tonggak-tonggak utama negara iaitu Islam, Raja-raja Melayu, tanah rizab Melayu, bahasa Melayu dan kerakyatan.

Usul itu mengaitkan ancaman berkenaan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang didakwa dibayangi agenda DAP.

"Mempelajari ilmu sosiologi diungkapkan Ibnu Khaldun yang sesungguhnya kestabilan negara bergantung kepada kesatuan dan kekuatan kaum majoriti.

"Maka Dewan Pemuda PAS mengusulkan supaya PAS menerajui usaha-usaha menyatu survival politik Islam-Melayu di negara ini.

"Seterusnya mengukuhkannya kembali serta mengekang anasir-anasir tidak sihat yang menjejaskan keharmonian politik, masa depan agama, rakyat dan negara," kata usul politik yang dikemukakan melalui dokumen tersebut.

Sementara itu, satu lagi usul Pemuda PAS turut menegaskan betapa PAS perlu mengukuhkan gagasan Sejahtera dengan mengambil kira perkembangan semasa politik negara selepas pilihan raya umum lalu.

"Pemuda PAS mengusulkan agar Gagasan Sejahtera diperkukuhkan dengan mengzahirka keikhlasan PAS menerusi lantikan politik dalam kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kepada rakan-rakan parti.

"Ia sekali gus terbuka untuk mereka menjadi ejen semak dan imbang," kata usul itu.

Lihat Komen
ADS