Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR | PAS menyeru ahlinya supaya menjadi pembaca setia lidah rasmi parti iaitu Harakah.

Perkara itu dibangkitkan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, pimpinan parti sedang mengambil langkah untuk menyusun semula pengurusan Harakah bagi bersaing dengan media-media lain.

"Perkara yang penting adalah sokongan ahli-ahli PAS, kalau kita sendiri tak baca memang susahlah untuk Harakah berkembang dan meningkatkan pencapaian.

"Harakah sepatutnya menjadi rujukan utama sebelum melihat dan membaca media lain," katanya.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, Harakah kini sedang disusun semula melibatkan pengurusan dan kakitangan.

"Harakah sedang melalui proses penyusunan semula untuk memastikan Harakah menjadi rujukan, berdaya saing dan mampu berhadapan dengan media lain yang ada di tanah air.

"Pengurusannya kini diletakkan di bawah Galeri Media, insya-Allah akan diselesaikan sebulan dua lagi," jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya juga mengambil langkah untuk memperbaiki kandungannya.

"Seperti mana kita tahu, media cetak hari ini semuanya menghadapi masalah kekurangan pembaca.

"Tetapi kita akan menetapkan pengeluaran Harakah secara bercetak dan memperkasa edisi atas talian melalui Harakahdaily.

"Insya-Allah kita berusaha sedaya upaya untuk membekalkan maklumat terkini dan sahih bagi pihak parti terutamanya," ujarnya.

Lihat Komen
ADS