Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR |  Biar hilang deposit lebih setengah juta ringgit, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin menganggap kegagalan parti itu memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) lalu bukan sesuatu yang merugikan.

Kata Hashim perjuangan PAS perlu dinilai dari sudut pandang Islam serta melihat jauh ke depan.

Kemudian beliau menggunakan kiasan untuk menjelaskan kenyataan tersebut. Kali ini menggunakan perbandingan durian musang king.

"Bagi saya usaha pertama ini (bertanding) ditempat yang (memang tahu akan) kalah ini ibarat kita beli benih musang king.

"Beli hari ini, kita takkan dapat makan hasilnya esok. Mustahil, (sebab) ia memakan masa (untuk mendapat buahnya)," kata Hashim semasa menyampaikan ucapan penggulungan di Kuala Terengganu hari ini.

Terdahulu Hashim menjelaskan mengenai keputusan PAS meletakkan 158 calon untuk persaingan kerusi parlimen pada PRU ke-14 lalu. Daripada jumlah itu PAS hanya memenangi 18 kerusi.

Di peringkat dewan undangan negeri (DUN) pula PAS meletakkan 393 calon dan 90 daripada mereka menang.

Percaturan itu dibuat selaras dengan rancanan PAS mahu menjadi sekurang-kurangnya menjadi king maker atau menubuhkan kerajaan secara bersendirian.

Kata Hashim 158 calon untuk kerusi parlimen itu adalah sejarah tersendiri buat PAS kerana ia adalah penyertaan tertinggi parti itu setakat ini.

Menurut beliau ada ketika tertentu PAS sudah dapat mengagak hasil penyertaan mereka dalam PRU pada 9 Mei lalu apabila jumlah orang yang mengiringi calon mereka sangat kecil.

Namun katanya seperti seseorang yang menanam benih musang king, ia memerlukan masa untuk melihat hasilnya.

" Kita yang beli benih ni mempunyai tugas dan tanggungjawab, kena tanam, siram, dan kawal penyakit.

"Memang kita bertanding di tempat yang kita akan kalah. Tugas kita sekarang - walaupun kita kalah - kita ada tanggungjawab di tempat tu untuk siram, baja, kawal penyakit.

"Insya-Allah akan membuahkan hasil," katanya.

Lihat Komen
ADS