Berita Malaysiakini

Polis bebaskan aktivis pelajar berdemo di Sabah

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kemaskini Seramai lapan aktivis pelajar yang ditahan di Kota Kinabalu Sabah kerana melakukan demonstrasi aman pagi ini dibebaskan oleh polis pada kira-kira jam 5 petang.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Khairuddin Daud memberitahu Malaysiakini, beliau percaya polis tidak akan mengambil tindakan susulan.

"Esok kami akan buat laporan polis mengenai kekasaran polis," katanya ketika dihubungi.

Malaysiakini sebelum ini memetik salah seorang aktivis yang ditangkap, Asrin Utong, mendakwa polis bertindak kasar ketika menahan peserta yang berhimpun di luar bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Dalam satu rakaman video yang dikongsi oleh seorang lagi pelajar yang ditangkap, para peserta himpunan dilihat bergelut dengan anggota DBKK dan polis selepas enggan bersurai.

Sebelum dibebaskan para pelajar berkenaan turut bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menyerahkan memorandum mereka.

Terdahulu, Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohamad Ithnin dilapor mengutuk penangkapan itu.

Bagaimanapun portal The Malay Mail memetik Timbalan Menteri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) Azis Jamman mengatakan protes itu "tidak perlu" kerana kerajaan terbuka untuk mengadakanperbincangan.

Beliau juga dilapor membidas Ketua Pemuda AMANAH Sabah Khairuddin Daud kerana melakukan protes berkenaan.

Azis dalam hantaran di Facebook turut berkongsi gambar ketika menemani Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal melawat Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan pemimpin AMANAH lain yang menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia malam ini.

Azis juga berkata beliau maklum tentang insiden berkenaan dan mengenai penangkapan Khairuddin, namun tidak menjelaskan lanjut sama ada terdapat sebarang perbincangan dengan pemimpin tertinggi AMANAH mengenai perkara itu.