Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hadi: Kerjasama PAS-Umno akan dibawa ke muktamar khas jika perlu

MUKTAMAR | PAS masih menilai kerjasama dengan Umno dari semasa ke semasa namun menganggap perkara itu bukan sesuatu yang mendesak pada masa ini, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Abdul Hadi, kerjasama seumpama itu boleh dibincangkan melalui muktamar khas yang boleh diadakan sekiranya perlu.

"Kita tak gopoh, kita akan menilai situasi dari semasa ke semasa. Dalam PAS ini kita ada pengalaman ketika masuk kerajaan campuran dulu (diputuskan) dengan muktamar khas.

"Bukan PAS Pusat buat, sekarang ada Majlis Syura Ulama akan lihat (keperluan) politik PAS, kalau perlu buat muktamar khas," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Muktamar PAS ke-64, di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kerjasama antara parti itu dan Umno serta sejauh mana perkembangan selanjutnya.

Abdul Hadi berkata, apa yang penting pihaknya mendapat respon yang baik daripada perwakilan berhubung kerjasama longgar (taawun) dengan Umno setakat ini.

"Apa yang penting respon keseluruhan perwakilan menerima kerjasama.

"Kita melihat apa yang berlaku dalam muktamar ini tidak seperti yang gembar-gemburkan, media mengatakan ada sesuatu yang panas dalam muktamar, tetapi tak panas," katanya yang juga anggota parlimen Marang.

Sebagai rekod menurut Abdul Hadi, taawun adalah bersifat tidak mengikat dan fleksibel meliputi aspek bekerjasama dalam perkara baik sahaja.

Sebaliknya tahaluf persefahaman yang mengikat lebih teguh yang tetapi menyentuh dasar parti dalam sebarang titik persamaan.

Pemimpin PAS akan hadir PAU

Sementara itu, Abdul Hadi menyatakan kesediaan kepimpinan PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini.

Bagaimanapun sama ada beliau sendiri akan hadir tidak dapat dipastikan buat masa ini.

"Itu nantilah lihat (tahap) kesihatan saya, saya juga ada teringat dengan program luar negeri, ada persidangan juga.

"Undangan diterima, akan ada pimpinan (PAS) hadir," jelasnya.

Lihat Komen
ADS