Paling Popular
Terkini

Kemaskini 10.14pm Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada minggu depan.

Katanya, pertemuan itu bagi membincangkan beberapa keputusan dibuat menteri berkenaan yang tidak diterima baik oleh sesetengah pihak.

"Maszlee adalah seorang ahli akademik yang baik dan berkemampuan, tetapi beberapa keputusan yang dibuatnya telah dilihat secara negatif.

"Saya fikir ini boleh diperbetulkan melalui dialog, jadi Insha Allah, saya akan jumpa dia minggu depan untuk membincangkan bagaimana membetulkannya," kata Anwar semasa sesi dialog bersama anak muda di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Maszlee dalam kenyataannya berkata beliau berbesar hati dan menghargai kesudian Anwar untuk bertemu dengannya.

"Pada hemat saya apa juga pandangan dan nasihat Datuk Seri Anwar selaku pemimpin Pakatan Harapan dan mantan Menteri Pendidikan akan membantu kepimpinan saya dalam mengemudi Kementerian Pendidikan.

"Malah saya juga telah mengambil kira beberapa pandangan yang beliau kemukakan sebelum ini," katanya.

Kebelakangan ini Maszlee menerima kritikan keras berikutan pelantikannya sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sekumpulan aktivis pelajar mengadakan protes baru-baru ini di hadapan Kementerian Pendidikan berhubung pelantikan itu.

Bagaimanapun mereka ditahan sebelum dibebaskan pada hari yang sama.

Maszlee akhirnya bertemu aktivis pelajar berkenaan Rabu lepas, yang memberinya tempoh seminggu untuk meletakkan jawatan sebagai presiden UIAM.

Aktivis mahasiswa Asheeq Ali Sethi Alivi berkata sekiranya Maszlee gagal berbuat demikian dalam tempoh seminggu, pihaknya akan menggerakkan lebih ramai mahasiswa untuk membuat bantahan.

Anwar, yang menjadi menteri pendidikan dari tahun 1986 hingga 1991, sebelum ini berkata beliau juga pernah ditawarkan jawatan presiden UIAM, tetapi membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut.

Lihat Komen
ADS