Wan Saiful sokong cadangan BERSIH kaji semula sistem FPTP
Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan menyokong gesaan BERSIH agar sistem dan proses pemilihan calon pilihan raya yang menggunakan first-past-the-post (FPTP) dikaji semula.
Meskipun mengakui bahawa setiap parti mempunyai sebab tersendiri dalam menentukan calon pilihan raya, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu berkata, Malaysia boleh belajar sistem pilihan raya dari negara lain.
Ini kerana, kata Wan Saiful yang juga merupakan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu, sistem FPTP yang digunakan ketika ini tidak melahirkan persaingan yang sihat.
"Sebagai seorang yang pernah melalui sistem pemilihan calon di United Kingdom, saya amat tertarik dengan cadangan BERSIH mengenai bagaimana kita boleh belajar dari sistem di negara itu.
"Memang benar di United Kingdom pemilihan calonnya lebih bergantung kepada ahli akar umbi dan ini melahirkan hubungan yang kuat antara wakil rakyat dengan ahli kawasannya.
"Berhubung dengan sistem FPTP, saya bersetuju dengan seruan Bersih agar ia difikirkan semula. Sistem FPTP tidak membantu melahirkan persaingan yang sihat jika wujud lebih daripada dua parti," katanya.
Malah, tambah bekas calong BERSATU bagi parlimen Pendang itu lagi, dengan sistem FPTP ketika ini parti-parti kecil mungkin tidak dapat bersaing langsung.
"Inilah yang menyebabkan di Malaysia parti-parti politik terpaksa membentuk gabungan. Jika mereka bertanding sendirian, maka cabaran yang mereka hadapi adalah tinggi.
"Sistem yang berteraskan Proportional Representation (PR) adalah lebih adil dalam situasi wujudnya banyak parti politik di Malaysia.
"Sistem PR akan membolehkan parti yang kecil sekalipun mendapat peluang yang adil, tanpa perlu bergabung dengan sesiapa. Ini memastikan suara minoriti pun berpeluang didengari dalam pilihanraya Malaysia.
"Pandangan daripada BERSIH ini akan saya bawa kepada jawatankuasa yang sewajarnya dalam kerajaan," katanya.
Terdahulu, BERSIH dalam kenyataan medianya menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Port Dikcson bukankah tentang politik dinasti keluarga Anwar, tapi sebaliknya keperluan mewujudkan proses pemilihan yang lebih menyeluruh merentasi semua parti di Malaysia.
BERSIH menyorot bahawa peletakan jawatan Anggota Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen menunjukkan kelemahan sistem sedia ada.
Melalui sistem perwakilan rakyat campuran, pengundi akan mempunyai dua pilihan pada kertas undi - satu untuk memilih calon bagi kawasannya, satu lagi untuk memilih parti yang akan menerajui kerajaan.
Calon yang menang akan menjadi wakil rakyat di kawasannya, namun wakil tambahan daripada senarai yang disediakan parti masing-masing akan dimasukkan ke dalam parlimen berdasarkan perkadaran undi yang diterima parti itu.
Sistem seperti itu akan membolehkan pengundi memilih calon yang mereka mahukan meskipun bukan dari parti yang mereka mahukan.
Dengan sistem itu juga, sesebuah parti politik tidak perlu memilih antara ADUN atau anggota parlimen kerana seorang ADUN juga boleh diletakkan di parlimen.

