Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Status sekutu pada Sabah, S'wak bukan janji kosong - TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak tuduhan sesetengah pihak kononnya jaminan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan status rakan sekutu (equal partners) kepada Sabah dan Sarawak sebagai janji kosong semata-mata.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata pendirian Pakatan Harapan untuk mengembalikan status kedua-dua negeri di Borneo itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sudahpun dibuat sebelum pilihan raya umum (lalu) lagi.

“Kita sudah bercakap tentang status Sabah, Sarawak itu bukan salah satu negeri tetapi sama taraf dengan Semenanjung. Itu kami sudah cakap sebelum kami menang pilihan raya (umum) lalu. Jadi ini memang kami sudah janjikan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jasamu Dikenang di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Yin di Keningau hari ini.

Majlis berkenaan dianjurkan PKR pedalaman yang merangkumi PKR Tenom, Pensiangan dan Keningau sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan Dr Wan Azizah memperjuangkan prinsip reformasi melalui parti PKR sepanjang 20 tahun lalu.

Semalam , semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Tun Dr Mahathir memberi jaminan status rakan sekutu Sabah dan Sarawak yang telah terhakis sejak pembentukan Persekutuan Malaysia 55 tahun lalu akan dikembalikan.

Dr Mahathir berkata pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana dalam MA63 itu amat penting kerana ia akan memberi asas kukuh kepada tiga rakan sekutu dalam Malaysia itu untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Mengenai kenyataan bakal presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengatakan isterinya Dr Wan Azizah akan meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri jika dia (Anwar) dilantik perdana menteri, Dr Wan Azizah berkata itu perkara telah diterima dalam parti dan merupakan janji PKR.

“Jika dia (Anwar) jadi perdana menteri, saya tidak akan pegang apa-apa jawatan lagi dalam kabinet,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS