Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menempelak pihak yang didakwa terlibat dengan skandal 1MDB namun tidak mengaku bersalah.

Secara sinis, Hanipa berkata: "Mungkin mereka semua betul kot.. Iaitu dalam kes berkaitan 1MDB, mereka semua mungkin tak salah. Yang pasti salah kita (rakyat) semua yang tolak BN dalam PRU ke-14 antaranya kerana isu 1MDB. Agaknya lah."

Kenyataan Hanipa yang dibuat melalui Facebook itu susulan kemunculan semula Jho Low di laman web peribadi bagi membela diri terhadap dakwaan berhubung skandal 1MDB,

"Ayat yang digunakan dalam laman web baru itu 'I am innocent' (saya tak bersalah).

"Dia sepatutnya menulis: 'I am presumed innocent' (saya dianggap tak bersalah). Lagi tepat dan betul," kata anggota parlimen Sepang itu.

Selain Jho Low, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga secara konsisten mengaku tidak bersalah berhubung skandal 1MDB.

Jelas Hanipa yang juga merupakan peguam, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan individu yang dituduh dengan kesalahan jenayah akan berulang kali mengaku tidak bersalah.

"Dalam media, dilaporkan mantan perdana menteri juga kata dia tidak bersalah. Reuters melaporkan bila mantan perdana menteri itu dibebaskan dengan jaminan, dia kata 'I am confident of my innocent, I believe in my innocent'," katanya merujuk pengakuan tidak bersalah Najib.

Najib sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta selepas didakwa menyalahgunakan RM42 juta dana syarikat subsidiari 1MDB, iaitu SRC International Sdn Bhd.

Jho Low, atau nama penuhnya Low Taek Jho, dikehendaki oleh pihak berkuasa selepas Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya di bawah akta antipengubahan wang haram.

Polis telah memfailkan dakwaan jenayah ke atas Jho Low dan ayahnya yang sehingga kini masih tidak dapat dikesan.

Jabatan Keadilan AS sebelum ini menamakan Jho Low sebagai watak utama dalam skandal 1MDB.