Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengarang: Adakah Jho Low mempermainkan Najib?
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 1:02 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Pengarang bersama buku, "Billion Dollar Whale" - wartawan Wall Street Journal (WSJ) Tom Wright - percaya Datuk Seri Najib Razak memperlakukan 1MDB sebagai ‘dana kotor’ (slush fund) kegiatan politiknya di mana ratusan juta digunakan untuk kepentingan parti dan keluarga.

Walau bagaimanapun, katanya, bekas perdana menteri itu tidak menyedari sejauh mana keterlibatan ahli perniagaan Jho Low, yang didakwa menyelewengkan berbilion-bilion daripada dana pelaburan negara berkenaan.

Wright berkata ini kerana Najib menyerahkan kepada Low untuk menguruskan segala-galanya tanpa memberi perhatian terhadap apa yang dilakukannya.

"Saya tidak fikir Najib tidak bersalah, saya yakin dia tahu itu adalah dana kotor politik. Mereka mendapatkan ratusan juta dolar untuk Umno manakala keluarganya memiliki banyak kediaman mewah serta syarikat perfileman, yang manfaatnya menjadi perdana menteri.

“Cukup korup. Bukan berkata dia tak salah tetapi tahukah Najib bahawa Low menguruskan dana itu dengan mengeluarkan AS$4.5 bilion, AS$5 bilion, mungkin AS$6 bilion dolar.

"Saya tidak fikir begitu, saya fikir dia tidak tahu urusan harian. Low yang mengendalikan segala-halanya,” katanya dalam wawancara dengan portal coconuts.co.

Menurut Wright, Low semakin berani kerana hubungannya dengan Najib dan terus menyelewengkan lebih banyak wang meskipun skandal 1MDB mula mendapat perhatian di kalangan rakyat Malaysia.

"Low mengambil setiap peluang untuk membeli barangan seterusnya. Saya fikir keyakinannya itu adalah kerana hubungan rapatnya dengan perdana menteri dalam sistem itu.

"Ini yang kami sebut kepada semua negara itu yang kita panggil sebagai kleptokrasi dalam buku ini,” katanya.

Contohnya, menurut Wright, adalah pembelian kapal layar mewah, Equanimity oleh Low.

 

"Paling mengejutkan bagi saya adalah hakikat bahawa dia membeli kapal layar Equanimity pada ketika media di Malaysia mula menimbulkan persoalan tentang penyelewengan dana itu.

"Mana-mana pencuri yang konservatif akan menutup lubang itu, bukan? Dia tidak menutup lubang itu, dia mengambil pula pinjaman baru dari Deutsche Bank, dan menggunakan sebahagiannya untuk membeli kapal layar itu," katanya.

Wright berkata dari cara pelaporannya mengenai isu 1MDB, adalah jelas bahawa Low adalah "dalang".

Beliau mendakwa bahawa Low juga bertanggungjawab menyelaraskan pemindahan AS$681 juta ke dalam akaun bank Najib, yang dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran apabila isu itu didedahkan pada tahun 2015.

"Saya fikir apabila kita membaca mesej WhatsApp antara Low dan beberapa orang, termasuk pegawai di bank-bank Malaysia, adalah jelas dia mengarahkan mereka untuk melakukan semua ini, termasuk memindahkan wang ke akaun perdana menteri dan mengeluarkannya.

"Mesej WhatsApp membuktikan bahawa dia adalah dalang utama... memaklumkan kepada bank bahawa AS$680 juta akan datang dari luar negara," katanya.

Wright bersama seorang lagi, wartawan WSJ Bradley Hope menulis buku "Billion Dollar Whale" yang merungkai skandal 1MDB dan mendedahkan Low sebagai dalang utama.

Lihat Komen
ADS