Jamal mengaku tak salah keluar negara cara haram
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ampang, Kuala Lumpur atas pertuduhan meninggalkan negara ini tanpa melalui laluan yang sah, Mei lalu.
Beliau, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina.
Mengikut kertas pertuduhan, Jamal, 48 yang juga adalah ketua gerkana Baju Merah didakwa tanpa sebab yang munasabah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan yang dibenarkan atau diwartakan dari Hospital KPJ Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen (Pindaan) 2002. Pemimpin Umno itu boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan itu.
Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Majistret Ampang membatalkan perintah ikat jamin terhadap Jamal bagi dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
Bagi tuduhan menceroboh, Jamal didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas didapati melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No. 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas, di Kuala Lumpur.
Dia juga didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No 23 & 25, Jalan Kosas 13, di taman sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 3.30 dan 3.40 petang, 29 Dis 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Julai lalu, Jamal mengaku tidak bersalah atas tuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

