Tom Wright jawab Jho Low, tiga tahun hidup kami mengenai 1MDB
Tom Wright menolak dakwaan bahawa beliau bersama pengarang, Bradley Hope secara tergesa-gesa menerbitkan buku Billion Dollar Whale, yang menuduh ahli perniagaan yang menjadi buruan itu, Jho Low menjadi dalang dalam skandal 1MDB.
"Diterbitkan secara tergesa-gesa? Ia (mengambil masa) tiga tahun hidup kami" ciap wartawan Wall Street Journal itu di Twitter.
Wright merujuk kenyataan yang diterbitkan di laman web tokoh perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu yang mendakwa buku itu sebagai cerita yang dipesongkan dan perbicaraan oleh media yang paling buruk.
"Banyak tuduhan itu datang dari blog, maklumat bocor yang tidak betul dari agensi-agensi kerajaan seluruh negara atau tuduhan yang tidak dibuktikan di mahkamah, yang saya tidak pernah diberikan kesempatan untuk menjelaskan perkara sebenar.
"Biar saya jelaskan: Saya tidak bersalah. Lihat kembali, saya mungkin lakukan perkara berbeza seperti anak muda lain, namun apa-apa kesilapan saya tidak seteruk seperti dakwaan dibuat terhadap saya.
"Saya hanya minta semua pihak - mahkamah, pendakwa dan orang ramai bersikap terbuka sehingga semua bukti menjadi jelas," katanya dalam satu kenyataan.

