Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Azmin buat lebih baik untuk kaum India dari Rafizi'

PEMILIHAN PKR | Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali memberikan khidmat yang lebih baik kepada masyarakat India berbanding pencabarnya Rafizi Ramli, kata seorang calon naib presiden dalam pemilihan parti itu.

K Vasantha Kumar, mendakwa Rafizi yang kini merupakan naib presiden PKR berlumba-lumba mencari sokongan ahli berketuruan India tetapi tidak pernah menyuarakan kepentingan kaum itu di Dewan Rakyat.

"Lihat sahaja isu kampung tradisi India Kampung Pandan. Berapa kali, Rafizi membangkitkan isu ini di parlimen? Setahu saya, tidak pernah sekalipun.

"Selama lima tahun dari 2013 hingga 2018, beliau tidak pernah bersuara atau berusaha untuk mendapatkan hak milik tanah bagi komuniti India di kampung berkenaan," dakwa Vasantha Kumar kepada Malaysiakini.

Menurutnya, kampung berusia lebih 70 tahun yang terletak di antara parlimen Setiawangsa dan Parlimen Pandan itu pernah dihuni kira-kira 2,000 keluarga.

Sebahagian besar penduduk daripada kampung tersebut dalam Parlimen Setiawangsa telah dipindah dan diberi hakmilik tanah.

Namun, isu melibatkan penduduk yang berada dalam parlimen Pandan masih tidak diselesaikan, katanya.

"Hampir 500 keluarga yang masih tinggal di situ serba kekurangan kemudahan asas seperti jalan, air dan elektrik.

"Pelbagai rungutan dan rintihan penduduk, sama ada secara persendirian atau melalui Jawatankuasa Sementara telah dibawa kepada perhatian Rafizi tetapi beliau tidak pernah ungkit dalam media atau parlimen untuk mencari jalan penyelesaian," dakwanya.

Beliau juga mendakwa Rafizi tidak pernah mengadakan sesi perbincangan antara kerajaan negeri Selangor dan penduduk kampung bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Beliau sentiasa sibuk dengan isu nasional dan publisiti politik melalui media tetapi isu tempatan lupa begitu sahaja sehingga lima tahun ibarat “anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan," katanya.

Berbeza dengan Rafizi, Vasantha berpendapat Azmin memberikan khidmat yang lebih baik kepada masyarakat India khususnya dalam menyelesaikan masalah Kampung Tradisi India Batu Caves (Batu Caves Indian Settlements).

"Azmin sebagai anggota parlimen Gombak telah menunaikan janji dengan mendapatkan hakmilik tanah kepada komuniti India yang menetap di Batu Caves Indian Settlement”.

"Seramai 77 keluarga mendapat hakmilik tanah di kampung tersebut manakala 33 keluarga lagi yang menetap di rezab sungai telah diberi tawaran plot tanah di Batu Arang untuk pemindahan. Isu selama 50 tahun itu telah selesai pada 2010 oleh Azmin Ali selaku anggota Parlimen Gombak," katanya.

Untuk rekod, Batu Caves Indian Settlement merupakan satu-satunya kampung tradisi India di parlimen Gombak.

Menurutnya pada era pentadbiran Azmin, penduduk beketurunan India mendapat lebih banyak bantuan berbanding menteri besar lain.

"Azmin juga memberi lulusan 120 lot kepada kuil, 19 lot kepada Sekolah Tamil, tanah untuk pertanian sebanyak 649 lot, manakala 1450 plot bagi tujuan kediaman.

"Ini yang membuat saya memberi sokongan penuh bagi Azmin pada pemilihan PKR.

"Rafizi mungkin berlumba mencari-cari sokongan undi ahli-ahli India tetapi kena ingat siapalah pemimpin yang berlumba-lumba membuat kebaikan," katanya.

Lihat Komen
ADS