Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyalahkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan anggota majlis tertinggi parti itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada parti.

Katanya, Ahmad Zahid perlu diberi ruang dan kepercayaan untuk mengatur langkah bagi memperkasakan semula Umno dan halatujunya.

“Tidak salah untuk Umno dan PAS berpakat kerana kita sama-sama pembangkang. DAP dan PKR juga pernah berpakat dengan PAS ketika mereka pembangkang.

“Tetapi pada pendapat saya, perjuangan untuk Melayu dan Islam tidak akan lengkap tanpa berjuang untuk semua rakyat Malaysia tidak mengambil kira kaum dan agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mustapa, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri membuat kejutan malam semalam dengan mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dengan parti itu.

Beliau yang memenangi undi tertinggi dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jun lalu memberi alasan hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Beliau juga mendakwa tidak banyak usaha untuk melakukan proses rejuvenasi parti itu..

Susulan pengumuman itu, bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kerjasama yang dihulurkan parti itu dengan PAS menyebabkan Umno kini 'kehilangan sinarnya'.

"Saya telah bersuara dalam mengingatkan parti saya terhadap pakatan dengan PAS. Dan saya menanggung serangan dari dalam.

"Sekarang, kita telah kehilangan sinar utama parti kita. Seorang pemimipin yang pintar dan baik. Ini semua salah kamu, Mr Presiden," katanya di Twitter, semalam.

Pada 15 Sept lalu, Ahmad Zahid mengetuai delegasi pemimpin Umno menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu.

Ahmad Zahid juga dilapor berkata beliau percaya jalinan kerjasama antara Umno dan PAS adalah jujur atas persefahaman dalam menegakkan syiar Islam

Bagaimanapun, katanya, pembentukan sebuah gabungan pembangkang untuk menghadapi PRU15 perlu diperhalusi di pelbagai peringkat.