Pemimpin Umno yang ingin menyertai PKR akan menyaksikan latar belakang dan rekod perkhidmatan mereka ditapis, kata bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ia bergantung siapa, apa kontroversinya, dan perkara mencurigakan yang mereka terlibat pada masa lalu," katanya kepada Channel News Asia.

Bekas timbalan presiden Umno itu berkata beliau sanggup memaafkan segala penghinaan dan kritikan yang dilemparkan terhadapnya pada masa lalu oleh para pemimpin itu.

Walau bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi mengenai isu rasuah.

"Saya secara peribadi, saya akan memaafkan.

"Apa yang mereka bidas, hina, saya boleh lupa dan maafkan. Tetapi jika ia berkaitan rasuah, mereka perlu jelaskan kepada pihak berkuasa," katanya.

Anwar, yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson akan datang, juga mengalu-alukan rundingan dengan beberapa pemimpin Umno tertentu yang mahu berkempen untuknya.

"Mengapa saya harus terlalu yakin atau bongkak untuk berkata 'tidak apa, saya tidak perlukan kamu'.

"Tetapi platform parti kami, platform Pakatan (Harapan) mesti berdasarkan agenda, prinsip dan dasar tertentu. Jika mereka mahu melakukannya dan mengambil inisiatif sendiri, saya akan kata n 'selamat datang'," katanya.

Mengenai Umno, Anwar senada dengan pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu tidak mempunyai tempat dalam HARAPAN.

Katanya, pilihan terbaik bagi parti yang kehilangan cengkamannya ke atas negara selama enam dekad pada pilihan raya umum 9 Mei harus kekal sebagai pembangkang.

Umno, yang kini diketuai oleh bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berada dalam krisis berikutan peletakan jawatan beberapa ahli parlimennya.

Dalam masa kurang daripada 24 jam, Umno kehilangan dua bekas menteri - Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman - dan spekulasi semakin kencang bahawa lebih ramai ahli parlimen dan ADUN akan menyusul.