Rais: Pentadbiran lama beli iklan Utusan RM12 juta setahun
Kerajaan lama didakwa membantu Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad dengan membeli iklan lebih kurang RM12 juta setahun.
Bekas menteri Umno Tan Sri Rais Yatim mendakwa semasa berada dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak, kementeriannya diarahkan membeli iklan dalam penerbitan syarikat itu, lapor The Malaysian Insight (TMI).
“Tahun 2010, 2011, dan 2012 ketika itu sebagai menteri penerangan, (saya) terpaksa mengeluarkan bantuan menerusi pengiklanan kepada Utusan.
“Usaha seperti itu tidak seharusnya berlaku tetapi kerajaan arahkan saya bertindak sedemikian,” beliau dipetik sebagai berkata.
Rais adalah menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan antara 2009 hingga 2013.
Penerbit akhbar Umno itu dilapor berstatus syarikat Nota Amalan (PN17) dan berisiko dinyah senarai daripada Bursa Malaysia disebabkan kekangan kewangan.
TMI juga melaporkan, Jumaat lepas, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan mendakwa mereka diberitahu syarikat tidak cukup duit untuk membayar gaji.

