Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet setuju turun usia layak mengundi kepada 18 tahun

Kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya bagi mendapatkan persetujuan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan tersebut, beliau akan bertemu dengan semua anggota parlimen dalam kalangan belia tanpa mengira parti politik untuk menubuhkan Kaukus Belia.

"Melaui Kaukus Belia, anggota parlimen muda setiap parti akan berbincang bukan sahaja usul undi 18 tetapi juga berkaitan isu anak muda lain kerana walaupun mereka di sebelah pembangkang, kita perlu dapatkan input mereka dalam hal ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pascakabinet, di Putrajaya hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai  ketua-ketua pemuda semua parti politik di negara ini untuk membincangkan usul tersebut.

"Kita perlukan sokongan daripada mereka dan saya agak yakin khususnya apabila mereka mewakili anak muda, undi 18 ini diidam-idamkan oleh anak-anak muda Malaysia sejak dahulu lagi,” katanya yang berharap  perbezaan politik tidak akan menghalang mereka bersatu dalam usaha memperkasa anak muda di negara ini.

Ditanya sama ada usul pindaan itu akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, Syed Saddiq perkara tersebut memerlukan perbincangan lanjut dengan semua pihak berkepentingan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau yakin had umur mengundi 18 tahun akan dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-15.

"Saya telah mengadakan perbincangan  tidak rasmi dengan pemimpin pembangkang dan mereka  juga  bersetuju. Malah,  kita lihat tindakan Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga menurunkan  umur keanggotaan Umno daripada 18 kepada 16 tahun,” katanya. 

Katanya beliau juga sebelum ini bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Peguam Negara Tommy Thomas bagi mendapatkan persetujuan berhubung usul itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS