Seorang anggota dewan undangan negeri (ADUN) Umno Kelantan melihat tindakan anggota parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu sebagai tepat.
"Tindakan Tok Pa (Mustapa) ini mungkin betul untuk beliau, sebab kalau kita tengok dari segi kredibiliti dan sahsiahnya, mungkin penilaian beliau adalah tepat.
"Sebab kalau kita tengok roh Umno hari ini memang dikotori oleh sikap kebendaan dan keduniaan.
"Buat sesuatu guna nama rakyat tetapi di sebaliknya ada niat lain, nawaitu sebenar bukan demi rakyat, tidak seperti perjuangan Umno yang ditinggal oleh allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra.
"Jadi ambo (saya) rasa Tok Pa buat pilihan yang tepat, bila melihat presiden Umno tidak yakin dengan kekuatan sendiri malah tidak berusaha untuk pulihkan Umno," kata ADUN Gual Ipoh Mohd Bakri Mustafa kepada Malaysiakini, hari ini.
Menjawab soalan, Mohd Bakri bagaimanapun berkata tidak akan mengikuti jejak langkah veteran Umno Kelantan itu, sebaliknya lebih cenderung untuk bersara dari politik.
"Saya sebenarnya berhasrat untuk berundur, tidak melihat pada jawatan dan kepentingan diri, jadi saya tunggu dan lihat. Kalau boleh mahu bersara,” katanya.
Mustapa malam tadi meninggalkan Umno yang diperjuangkannya sejak 40 tahun lalu. Tidak sampai 24 jam, hari ini langkah sama diambil bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman.
'Pulihkan kekuatan sendiri'
Sementara itu Mohd Bakri juga mengkritik pendekatan kepimpinan baru Umno yang didakwanya tidak menumpukan usaha membina semula parti.
"Kita lihat Umno berharap Tun (Dr Mahathir Mohamad) habis umur dan Pakatan Harapan berpecah.
"Umno kalau masih berpegang dengan tunjang yang ditanam oleh perjuangan asal, sampai hari ini pun akan relevan.
"Jadi pimpinan perlu pulihkan Umno dengan kekuatan sendiri, baiki kelemahan dan jangan syok sendiri atau bergabung dengan parti lain, " katanya yang sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi dan khabar angin akan melompat parti.
Beliau juga mempertahankan Mustapa sebagai seorang pemimpin yang baik.
"Selama ini pun kita turut dia (Mustapa), sebagai orang yang bersih dan baik, kenapa tidak kita ikut langkah orang yang jujur?" kata Mohd Bakri.