Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemimpin keluar Umno kerana kerjasama dengan PAS'

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan pengumuman keluar parti dan peletakan jawatan dua pemimpin tertinggi Umno dalam parti itu semalam dan hari ini bukan atas kepentingan peribadi, sebaliknya atas kejujuran dan keikhlasan mereka yang melihat Umno sudah tidak lagi relevan.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman itu jelas menunjukkan Umno berdepan dengan krisis dalaman parti yang parah.

“Saya fikir mereka tak ada kepentingan, kalau kata ada kepentingan kita lihat jawatan dalam kabinet saya fikir sudah penuh dan tak mungkin akan ada pertambahan jawatan kabinet kerana itu akan membebankan perbelanjaan negara kita.

“Jadi saya fikir mereka ini secara jujur ikhlas melihat bahawa Umno sudah tidak lagi relevan kerana sudah bekerjasama dengan PAS,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program jelajah Pendidikan Luar Bandar MARA 2018 peringkat daerah Pokok Sena dan Padang Terap di Pokok Sena, Kedah hari ini.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia juga berasa ‘janggal’ dengan pimpinan PAS pada hari ini yang bekerjasama dengan Pokok Sena, Kedah dan berharap ada anggota PAS meninggalkan parti itu selepas ini.

“Sebelum itu pimpinan PAS sendiri termasuk presiden dan timbalan presiden kata tak mungkin PAS akan menanggung ‘biawak hidup’ tapi saya tak tau lah biawak apa yang mereka tanggung sekarang ni, dan saya juga sedih dengan kawan-kawan saya dan saya fikir mereka juga harus bertindak meninggalkan PAS seperti mana pemimpin Umno meninggalkan parti mereka,” katanya.

Semalam, Mustapa yang juga bekas menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga anggota Parlimen Jeli mengumumkan keluar Umno dan disusuli bekas menteri luar, Anifah yang mengumumkan peletakan pelbagai jawatannya serta keluar dari parti itu.

Keputusan itu dibuat Mustapa selepas merasakan hala tuju Umno pada masa ini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Manakala Anifah pula bertindak keluar Umno kerana tidak dapat menunaikan janji-janjinya kepada rakyat Sabah dalam memperjuangkan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika dalam BN dan Umno.

- Bernama

Lihat Komen
ADS